Hajiji Dilantik Pro Canselor UMS

Cetak

KHAMIS, 4 FEBRUARI - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Mohd Noor dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Berita tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU) UMS,  Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dalam sesi kunjungan hormat beliau bersama Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin baru-baru ini di Pejabat Ketua Menteri di bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Abdul Rahman memaklumkan penyerahan watikah pelantikan daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Haji Mahirudin, Yang Dipertua Negeri Sabah kepada Hajiji akan diadakan dalam masa terdekat.

Terdahulu Abdul Rahman telah menerima surat pelantikan sebagai Pengerusi LPU UMS berkuat kuasa 1 Januari 2021 bagi tempoh dua tahun dalam satu acara ringkas di Pejabat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Putrajaya.

Kunjungan hormat yang berlangsung lebih kurang satu jam tersebut turut membincangkan hala tuju UMS sebagai universiti komprehensif dan sumbangan UMS bagi membantu masyarakat khususnya dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19.