UMS Rai Lebih 500 Kakitangan Pada Majlis Apresiasi Tahunan

Cetak

SELASA, 16 MAC – Seramai 524 kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima penghargaan pelbagai anugerah pada Majlis Apresiasi UMS 2019 dan 2020 yang berlangsung secara hibrid.

Berlangsung di Galeri Majlis, UMS dan turut disiarkan secara maya melalui laman Facebook rasmi UMS.Official dan saluran YouTube UMS.Net, seramai 39 orang kakitangan UMS yang telah bersara termasuk empat kakitangan yang telah meninggal dunia dalam perkhidmatan diberi penghargaan Anugerah Jasamu Dikenang sebagai menghargai sumbangan jasa bakti sepanjang berkhidmat di UMS.

Anugerah disampaikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin kepada pesara yang hadir pada majlis tersebut.

Menurut Taufiq, Majlis Apresiasi UMS merupakan manifestasi dan komitmen pihak pengurusan untuk menghargai sumbangan dan kecemerlangan para pesara dan juga kakitangan UMS dengan harapan agar budaya kerja cemerlang, mengutamakan kualiti, kreatif dan inovatif menjadi amalan berterusan demi memastikan kecemerlangan universiti.

“Pada tahun ini juga kita telah memperkenalkan satu lagi anugerah iaitu Anugerah Sanjungan Budi bagi mereka yang telah berkhidmat di UMS selama lebih 25 tahun yang melibatkan 19 orang penerima, selain 80 orang menerima Anugerah Jasa Setia, iaitu mereka yang telah menabur khidmat bakti kepada UMS selama 20 tahun, serta 240 orang yang telah berkhidmat selama 10 tahun menerima Anugerah Jasa Bakti.

“Sejumlah 146 kakitangan merangkumi pelbagai skim jawatan di peringkat kakitangan sokongan dan pengurusan termasuk kakitangan akademik juga dipilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi Tahun 2019, dengan penerima APC akan menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang, dan juga insentif kecemerlangan prestasi sebanyak RM1,000 yang telah pun dikreditkan ke akaun penerima pada awal tahun 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Taufiq berkata setiap penjawat awam dituntut untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada masyarakat sepanjang berkhidmat, dan masing-masing berperanan dalam memastikan perkhidmatan yang disampaikan bersih dan berintegriti.

“Saya amat berharap agar kakitangan UMS terus komited bekerja dengan ikhlas dan penuh berintegriti tanpa mengharapkan pengiktirafan dan bukan juga kerana nama.

“Tugas sebagai penjawat awam merupakan satu amanah dan harus dipikul dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab.

“Budaya kerja atau work ethics haruslah secara berhemah dan berintegriti menepati visi dan misi organisasi,” katanya.

Taufiq turut berharap agar para kakitangan yang diraikan pada majlis tersebut sentiasa sukses, menjaga kesihatan, memelihara akhlak peribadi, memperkukuh silaturahim, mengekalkan kecemerlangan dalam pekerjaan, dan menjadi pekerja berkualiti agar dapat membantu usaha melonjakkan keunggulan UMS bukan hanya di peringkat kebangsaan tetapi unggul di mata dunia.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar serta para pegawai utama dan kanan UMS.