UMS Sedia Bantu Hong Kong Bangunkan Industri Halal

Cetak

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia untuk membantu pembangunan industri halal di Hong Kong melalui kepakaran yang terdapat di universiti tersebut.

Perkara ini dinyatakan oleh Dekan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat.

Menurut beliau, usaha tersebut bakal dipacu menerusi kerjasama bersama GBA Halal Certification Centre Ltd.

“Kolaborasi bersama ini meliputi  khidmat pakar runding makmal analisis halal, dengan libat sama syarikat OriGene DNA Testing Company Ltd. untuk analisis DNA dan alkohol dalam produk makanan halal di pasaran Hong Kong.

“Selain itu, UMS yang merupakan penyedia latihan halal yang berdaftar di bawah JAKIM bersedia untuk menawarkan program latihan halal seperti kursus kesedaran halal, kursus kompetensi halal, kursus eksekutif halal dan kursus pengauditan halal kepada pihak industri halal di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyempurnakan acara menandatangani surat persetujuan kerjasama antara UMS melalui Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH), dengan GBA Halal Certification Centre Ltd. sempena Halal Pavilion 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Hong Kong baru-baru ini.

UMS juga katanya akan memberi khidmat perundingan dan nasihat dalam pengurusan sistem jaminan halal bagi memastikan pematuhan kepada piawaian halal yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar GBA, Sharifa Leung berkata, kerjasama ini dijangka dapat membantu memajukan lagi ekosistem halal di Hong Kong.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada UMS kerana sudi memberikan sokongan dan bantuan dalam membangunkan industri halal di Hong Kong.

“Harapan saya adalah industri halal di Hong Kong dapat berkembang maju pada masa hadapan, selain  berharap agar masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam di Hong Kong akan mendapat manfaat langsung terutama dari segi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang halal,” ujar beliau.