Program Nutri-Connect 1.0 Usaha UMS Tingkat Pendidikan Pemakanan Sihat dalam Masyarakat

Cetak

 

Program Nutri-Connect 1.0 anjuran Program Pemakanan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diadakan di Kampung Libang, Ranau baru-baru ini merupakan usaha UMS untuk terus meningkatkan pendidikan berkaitan pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat.

Menurut Ketua Program Pemakanan FSMP, Dr. Norliyana Aris, program tersebut diadakan bertujuan untuk memberikan pendidikan pemakanan bagi membentuk komuniti yang lebih sihat dan bahagia.

“Di samping itu, usaha ini turut memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung kepada para pelajar FSMP yang mengendalikan program ini.  

“Ini adalah selari dengan strategi Dasar Pemakanan Kebangsaan 2.0 iaitu mendaya upaya individu, keluarga dan masyarakat sebagai ejen perubahan dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan pemakanan mereka,” katanya.

Penganjuran program tersebut juga katanya mendapat maklum balas positif daripada peserta dalam kalangan penduduk kampung yang menyatakan aktiviti yang dikendalikan telah memberikan ilmu pengetahuan dan kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan pemakanan dan gaya hidup sihat.

“Justeru itu, kami menyasarkan untuk memperkasa sebuah komuniti sebagai Duta Pemakanan Sihat pada program Nutri-Connect 2.0 yang akan datang.

“Peserta akan mengikuti aktiviti Train-the-Trainers yang membekalkan mereka dengan ilmu dan kemahiran berkaitan gaya hidup sihat dan pemakanan lestari,” katanya.

Dalam pada itu, koordinator program tersebut, Dr. Noor Atiqah Aizan Abdul Kadir berkata penganjuran program tersebut dapat memberi pendedahan kepada peserta berkaitan cara menjaga diri dan keluarga melalui pemakanan yang sihat dan berkualiti serta sesuai dengan gaya hidup masyarakat tempatan.

Baliau yang juga merupakan anak jati Ranau turut menyatakan harapan agar usaha tersebut dapat memberi manfaat kepada komuniti Kampung Libang, Ranau khususnya dalam menerapkan pemakanan yang lebih sihat dan sekali gus memberi kesan positif kepada kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Pelbagai aktiviti dijalankan dalam program tersebut, antaranya saringan pemakanan, runding cara pemakanan, pendidikan pinggan sihat dan piramid makanan Malaysia, pertandingan aktiviti fizikal, meneka kandungan gula dalam minuman dan kandungan garam dalam makanan, serta memasak secara sihat.

Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan telah menarik perhatian lebih 50 ahli komuniti yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Turut terlibat dalam program tersebut pensyarah Program Pemakanan FSMP, Dr. Nur Hanisah Azmi dan Dr Ramlah George @ Mohd Rosli, serta 28 pelajar Program Pemakanan yang mengendalikan keseluruhan aktiviti sepanjang program tersebut.