Anak Jati Sabah Lakar Sejarah Di Antartika

Cetak

 

Kejayaan anak kelahiran Ranau Prof. Dr. Justin Sentian yang melakar sejarah selaku rakyat Malaysia pertama dan paling lama menjalankan ekspedisi penyelidikan musim sejuk di Antartika mengharumkan nama Sabah dan Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah amat berbangga dengan pencapaian Justin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut mengibarkan bendera negeri Sabah bersama-sama Jalur Gemilang sepanjang tempoh tujuh bulan penyelidikannya di Antartika.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr. Justin kerana beliau adalah saintis Malaysia pertama yang melaksanakan penyelidikan itu di Antartika.

"Pencapaian ini amat membanggakan kita dan lebih istimewa lagi bendera negeri Sabah turut dikibarkan di Antartika," katanya semasa menerima kunjungan daripada Justin bersama Timbalan Naib Canselor (Strategik) UMS Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) Abd Shukor Jamaluddin di Menara Kinabalu.

Semasa kunjungan itu, Justin turut mengembalikan bendera Sabah yang dikibarkan di Antartika kepada Hajiji sebagai simbolik kejayaan melengkapkan Ekspedisi Penyelidikan Musim Sejuk di Antartika.

Bendera Sabah yang sama diberikan oleh Hajiji semasa kunjungan hormat Justin pada 10 Mac 2023 sebelum beliau berlepas ke Antartika. 

Justin yang bertugas di Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS menjalankan ekspedisi penyelidikan pada musim sejuk dengan cuaca ekstrem di Antartika selama tujuh bulan bermula 21 Mac hingga 27 Oktober 2023.

Ekspedisi berkenaan sekali gus menjadikannya sebagai rakyat Malaysia paling lama berada di benua paling sejuk di dunia itu. 

Sepanjang di Antartika, beliau tinggal dan melakukan kajian di stesen Prof. Julio Escudero milik negara Chile yang terletak di Pulau King George Antartika.

Ekspedisi yang julung kali itu dianjurkan oleh YPASM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Antartika Chile (Instituto Antártico Chileno (INACH).

Justin menerima geran penyelidikan khas bernilai RM150,000 daripada YPASM untuk projek berkaitan perubahan iklim yang bertajuk ‘Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan Cuaca Melampau’. 

Kajian tiga tahun yang dijalankan dengan kerjasama INACH dan University of Santiago ini mengkaji peranan halokarbon reaktif terhalogen dalam kimia ozon permukaan dan keadaan meteorologi di bawah keadaan cuaca musim sejuk yang melampau. 

Beliau memperoleh data yang merekodkan variasi kepekatan ozon permukaan dan beberapa spesies gas hidrokarbon seperti isoprene sepanjang musim sejuk di Antartika.

Pada masa sama, beliau juga berjaya mengambil 197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan air laut untuk kajian kandungan spesis halokarbon seperti bromokarbon.

Sepanjang ekspedisi musim sejuk di Antartika, banyak cabaran yang dihadapinya, terutama dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi keadaan cuaca yang sangat ekstrem. 

Justin berkata, ada ketika suhu udara mencapai tahap -44 darjah celsius dan kelajuan angin dengan ribut salji mencecah kelajuan 120 kilometer sejam (km/jam).

"Hasil kajian ini diharap akan dapat memberi impak signifikan ke atas pemahaman variasi ozon dan spesis hidrokarbon dan halokarbon dalam keadaan cuaca ekstrem pada musim sejuk”.

“Di samping itu, ia dapat menyumbang kepada penjanaan ilmu baharu bukan sahaja dalam kalangan saintis kimia atmosfera, tetapi juga kepada seluruh masyarakat tempatan dan global untuk lebih memahami perhubungan kompleks dengan isu-isu semasa seperti perubahan iklim dan penipisan ozon di Antartika.

(Sumber Gambar: Pejabat Ketua Menteri)