60 Bakul Makanan Diagihkan, UMS Santuni Komuniti Edu-Tourism Kampung Sayap

Cetak

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Komunikasi Korporat (PKK) menyantuni komuniti luar bandar di Kampung Sayap, Kota Belud dengan mengagihkan 60 bantuan bakul makanan kepada ibu tunggal, warga emas terlantar dan individu kelainan upaya.

Pengarah PKK UMS, Dr. Jakaria Dasan berkata kunjungan pihaknya ke kampung tersebut antara lain bertujuan mempromosikan pelancongan berasaskan pendidikan serta menjalankan beberapa aktiviti bersama penduduk.

“Menerusi kepimpinan Naib Canselor UMS, Profesor Dr. Kasim Mansor, setiap warga UMS digesa untuk sentiasa peka kepada usaha mendekati komuniti bagi melakukan pemindahan dan perkongsian ilmu yang relevan dengan sesebuah komuniti yang didampingi.

“Usaha menyantuni komuniti di luar bandar Sabah dengan program-program sedemikian dilaksanakan bertujuan untuk memperkasa kefahaman warga UMS mengenai Komuniti Madani itu sendiri.

“Di Kampung Sayap, terpampang jelas akan wujudnya ciri-ciri Komuniti Madani. Komuniti di kampung ini mempunyai persatuan atau perkumpulan masyarakat yang sentiasa bersatu padu dalam aktiviti memajukan kampung mereka,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh kakitangan PKK UMS bersama komuniti ialah menganyam atap menggunakan daun kelapa untuk menyiapkan Pondok Malius di Puncak Gloria, menumbuk dan menampi padi serta menghasilkan kraftangan manik.

Tambah Jakaria, PKK UMS merupakan nadi penting universiti yang antara lain terlibat mengurus majlis rasmi universiti serta menyelaras hubungan awam dan publisiti menerusi rakan-rakan strategik media.

“Kesempatan menjejakkan kaki ke Kampung Sayap dan seterusnya peluang berinteraksi dengan komuniti kampung ini adalah pengalaman yang berharga dan tinggi impaknya kepada kakitangan PKK, UMS.

“Program seumpama ini memberi ruang kepada kakitangan pusat ini untuk meningkatkan ilmu berkomunikasi secara efektif dengan komuniti di luar universiti,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Sayap, Aming Gamburus berkata pihaknya bersyukur kerana UMS sering menjadikan Kampung Sayap sebagai pilihan mengadakan program khidmat komuniti.

“Ini menyebabkan kami yang tinggal di kawasan luar bandar sentiasa berasa tidak terpinggir dari arus pembangunan. Kehadiran institusi ilmu seperti UMS mengadakan program secara konsisten benar-benar dirasai oleh penduduk kampung di sini.

“Secara tidak langsung ianya memberi motivasi kepada anak-anak dari kampung ini untuk sentiasa bercita-cita maju dalam pelajaran dan seterusnya memasuki universiti khususnya, UMS,” katanya.

Pada kunjungan tersebut, PKK UMS turut mengadakan perkongsian bertajuk ‘Apa Itu Scam’ kepada komuniti Kampung Sayap serta berkongsi bahaya mengenai penipuan tersebut yang sering menjadikan warga emas dan komuniti luar bandar sebagai mangsa.