Kidney Run For Charity 2024 Usaha HUMS Sokong Kebajikan Pesakit Dialisis

Cetak

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) terus melaksanakan usaha berterusan dalam menyokong kebajikan pesakit dialisis menerusi penganjuran Program Kidney Run for Charity 2024 buat kali ketiga di Padang Kawad, UMS baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, di samping mengumpul dana bagi membantu pesakit buah pinggang, program tersebut juga adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan buah pinggang.

“Berdasarkan statistik kajian tempatan, didapati satu daripada tujuh orang rakyat dewasa Malaysia mengalami penyakit buah pinggang kronik dan perlu diambil perhatian serius, dan statistik terkini dari Malaysian Dialysis and Transplant Registry pula menunjukkan seramai lebih 9,500 pesakit baru dikenal pasti perlu menjalani rawatan dialisis setiap setahun.

“Perkara ini sangat membimbangkan dan kerajaan komited untuk mengukuhkan lagi komitmen terhadap program pencegahan buah pinggang kronik.

“Justeru, saya percaya penganjuran dan pengelolaan program seperti ini secara asasnya bukan sahaja untuk mengutip sumbangan semata-mata, tetapi dapat menunjukkan keprihatinan masyarakat untuk saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

Beliau turut memaklumkan, program tersebut turut dihadiri oleh tiga orang pesakit dialisis UMS-Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang sama-sama memberi sokongan dengan program yang dianjurkan.

“Untuk itu, saya menyeru masyarakat supaya sentiasa memberi sokongan terhadap usaha seperti ini agar program kesedaran yang dianjurkan dapat memberi kesan yang positif kepada semua masyarakat terutamanya dalam penjagaan kesihatan.

“Sesungguhnya kesihatan adalah harta yang tidak ternilai bagi setiap individu,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Raman menyempurnakan penyerahan sumbangan berjumlah RM10 ribu yang berjaya dikutip menerusi program larian tersebut kepada Persatuan Kebajikan Haemodialisis UMS yang akan digunakan untuk membantu pesakit buah pinggang dalam kalangan golongan B40 dan kategori yang tidak mampu untuk membayar kos rawatan mereka, selain turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada tiga pesakit UMS-YKN yang hadir.

Beliau kemudiannya menyempurnakan pelepasan larian sejumlah 228 peserta yang menyertai larian bagi kategori 10km dan 3km.

Turut hadir pada program tersebut Penasihat Undang-Undang UMS, Ag. Suhaizam Bungso; Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Malehah Mohd. Noh; dan Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Sirahim Abdullah.