Seminar Kebangsaan Hafazan Al-Quran Perkasa Pendidikan Agama di Sabah

Cetak

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited memperkukuhkan pendidikan Islam di negeri Sabah dengan penganjuran Seminar Kebangsaan Hafazan Al-Quran yang dianjurkan Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof, ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor merasmikan seminar tersebut mengalu-alukan inisiatif FIS dalam menganjurkan seminar tersebut

“Seminar ini bukan sahaja memberi manfaat kepada para pelajar, malah turut membantu merancakkan lagi usaha meningkatkan lagi kefahaman berkaitan agama dalam kalangan masyarakat.

“Penting untuk kita melatih anak-anak membaca Al-Quran dengan betul kerana bacaan ayat suci Al-Quran adalah asas kepada solat.

“Justeru itu, seminar seperti ini adalah platform terbaik untuk memastikan kita terus membimbing generasi muda dalam memartabatkan Al-Quran dan ajaran Islam,” katanya dalam ucapan perasmian seminar tersebut yang berlangsung di Pusat Islam UMS.

Beliau turut menekankan bahawa dalam kehidupan, perlu ada keseimbangan antara mengejar dunia dan akhirat.

“Melalui penganjuran seminar serta program-program keagamaan, UMS berperanan meningkatkan lagi usaha memperbaiki dan memperkukuhkan pendidikan Islam di negeri ini.

“Penubuhan FIS adalah langkah penting dalam melahirkan lebih ramai graduan yang bukan sahaja mampu berkhidmat untuk masyarakat di Sabah, tetapi juga mempertingkatkan pengajaran agama Islam di negeri ini,” tambahnya.

Ujar beliau, FIS diharap akan terus menganjurkan program-program yang menyemarakkan aktiviti-aktiviti keagamaan, sekali gus membawa manfaat besar kepada masyarakat dan sistem pendidikan Islam di Sabah.

Pada majlis tersebut, turut berlangsung acara pelancaran Infak Tunai Pembinaan Bangunan FIS, serta penyerahan watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung di FIS kepada pendakwah bebas dan tokoh ulama terkenal, Al-Fadhil Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid

Hadir sama pada majlis tersebut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah, Datuk Dr. Haji Arifin Haji Mohd Arif; Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; dan Dekan FIS, Dr. Sarip Adul.