Kerjasama rentas displin, Persidangan Psikologi Asia Tenggara UMS kukuhkan jaringan profesional

Cetak

 

Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan persidangan The 4th Southeast Asia Psychology Conference 2024 (SEAP2024), baru-baru ini.

Pengarah persidangan, Profesor Dr. Murnizam Hj. Halik berkata program tersebut antara lain bertujuan membincangkan peranan psikologi dalam membantu masyarakat menyesuaikan diri dan beradaptasi terhadap cabaran yang dihadapi kesan kemajuan teknologi yang pesat dan isu global.

“Selain itu, persidangan ini menyediakan platform kerjasama bersama negara-negara Asia Tenggara dengan mengalakkan perkongsian intelektual merentasi disiplin.

“Di samping itu, dengan tema persidangan iaitu Psikologi dan Masyarakat: Trend dan Arah Masa Depan memartabatkan psikologi sebagai salah satu bidang dalam profesion menolong, selain kaunseling dan kerja sosial membantu masyarakat dalam menangani cabaran masa kini dan membentuk masa depan komuniti yang sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan.

Menurut Murnizam, seramai 187 peserta dari dalam dan luar negara menyertai persidangan kali ini.

“Persidangan SEAP2024 juga menjemput enam penceramah dari United Kingdom (UK), Indonesia, Filipina dan Malaysia untuk memberi ucaptama dalam persidangan.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, penceramah dan ahli jawatankuasa dalam menjayakan persidangan SEAP2024 serta membina rangkaian profesional dan perkembangan ilmu dalam psikologi.

“Semoga persidangan ini bermanfaat dan memberi inspirasi kepada kita semua,” katanya.