UMS Perkukuh Hubungan Akademik dengan Universiti Terkemuka Uzbekistan

Cetak

 

TASHKENT - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan jaringan kerjasama antarabangsa melalui lawatan rasmi ke Universiti Pengajian Timur Tashkent (TSUOS) di Uzbekistan, yang diketuai oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor baru-baru ini.

Delegasi UMS disambut secara rasmi oleh Rektor TSUOS, Profesor Rikhsieva Gulchekhra Shavkatovna, sekali gus menandakan permulaan hubungan kerjasama akademik yang menyeluruh antara kedua-dua institusi dalam bidang pelancongan, pendidikan bahasa, dan pertukaran budaya.

Kasim dalam satu kenyataan menjelaskan, kerjasama antara kedua-dua universiti itu sangat bertepatan dengan kedudukan Sabah yang kian diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan ekologi.

“Dengan tarikan semula jadi seperti Pulau Sipadan, Gunung Kinabalu, dan Lembangan Maliau, Sabah terus menarik pelancong dari Eropah, China, Jepun dan Korea Selatan.

“UMS memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran industri pelancongan masa hadapan,” katanya.

Beliau menambah, dalam aspek akademik, kedua-dua universiti telah bersetuju untuk menganjurkan seminar dua hala secara atas talian dalam bidang pelancongan, memandangkan kedua-duanya menawarkan program yang diiktiraf dalam bidang tersebut.

“Program pelancongan di Universiti Tashkent adalah antara yang terbaik di rantau ini, manakala UMS turut menawarkan program yang sama.

“Seminar ini akan dilaksanakan secepat mungkin agar kedua-dua pihak dapat berinteraksi—dan seterusnya disusuli dengan geran padanan dan penerbitan bersama,” katanya sambil memaklumkan seminar tersebut bakal diselaraskan bersama Ketua Jabatan Pelancongan di TSUOS, Profesor Madya Khusanov Chari Kadirovich

Justeru kata Kasim, program lawatan tersebut sekali gus membuktikan komitmen UMS dalam memperkukuh pengantarabangsaan program akademik serta menonjolkan peranan Sabah sebagai hab serantau dalam pelancongan mampan, penyelidikan biodiversiti dan kerjasama budaya.

Lawatan delegasi UMS dimulakan dengan sesi lawatan ke muzium universiti yang dikendalikan oleh Pengarah Sekolah Tinggi Bahasa dan Kesusasteraan Asia Selatan, Dr. Nilufar Khodjayeva, yang memberi penerangan tentang sejarah dan peranan TSUOS sebagai pusat pengajian Timur yang terkemuka di Asia Tengah.

Salah satu hasil utama daripada pertemuan tersebut ialah persetujuan untuk melaksanakan program perkhemahan musim panas dan mobiliti akademik pelajar, dengan tumpuan khusus kepada Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT).

Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kefahaman rentas budaya dan memberi pendedahan praktikal kepada pelajar tentang amalan pelancongan mampan.

Lawatan turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (LoI) sebagai langkah awal memformalkan hubungan antara UMS dan TSUOS, dengan Memorandum Persefahaman (MoU) atau Memorandum Perjanjian (MoA) dijangka dimeterai dalam tempoh tiga bulan selepas semua aspek pentadbiran dan akademik dimuktamadkan.

Kerjasama dalam bidang bahasa turut menjadi fokus utama, dengan TSUOS menjadi salah satu institusi terpilih di Asia Tengah yang menawarkan pengajian Bahasa Melayu di bawah kendalian Dr. Nilufar Khodjayeva.

Kedua-dua institusi juga bersetuju untuk meneroka program pensyarah pelawat dan mobiliti akademik, yang akan memperkukuh pendidikan bahasa serta diplomasi budaya antara Malaysia dan Uzbekistan.

Hadir sama dalam perbincangan tersebut ialah Ketua Institut Bahasa dan Kesusasteraan Bangsa Timur, Dr. Mirzakhmedova Hulkar, serta Naib Rektor bagi Hal Ehwal Akademik dan Kerjasama Antarabangsa, Profesor Dr. Abdullayev Nodir Abdulkhayevich yang menyatakan komitmen penuh pihak TSUOS dalam menyokong jalinan kerjasama jangka panjang.

Delegasi UMS turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; dan Pengarah Pejabat Canselori, Hasmi Hashim.