Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencungkil bakat muda dalam industri hospitaliti melalui penganjuran pertandingan dan pameran kemahiran berkaitan hospitaliti.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata penganjuran tersebut penting bagi meneroka bakat para pelajar daripada institusi pendidikan awam dan swasta di sekitar Kota Kinabalu.
Katanya program tersebut memainkan peranan penting dalam mempromosikan UMS sebagai institusi pendidikan unggul yang komited dalam pembangunan insan dan pengukuhan bidang hospitaliti sejajar dengan slogan baharu ‘UMS:The Brain of Borneo’.
“Saya berharap agar program ini dapat mengekalkan momentum dalam melahirkan bakat pengurusan acara hospitaliti dalam kalangan generasi muda, serta terus dijalankan dan diperkasakan pada tahun-tahun akan datang sebagai sebahagian daripada penilaian akhir kursus.
“Semoga dengan penganjuran program ini, kita akan sentiasa berusaha untuk menyatukan seluruh tenaga kita dengan segala keprihatinan yang kita ada, bagi memperkasa lagi ikatan antara pelajar dalam dan luar UMS, ” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program ‘UMS Hospitality Fiesta 2025’ anjuran FPEP UMS, baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abdul Karim.
‘UMS Hospitality Fiesta 2025’ merupakan anjuran pelajar tahun akhir kursus Pengurusan Acara Hospitaliti FPEP UMS dengan tema pertandingan berfokuskan kemahiran dalam bidang hospitaliti.
Sementara itu, Pengarah Program, Prescillia Beatrice Peter Asum berkata program tersebut memberi peluang kepada peserta untuk mengasah kemahiran praktikal dan insaniah melalui pendekatan ‘experiential learning’ serta memperkukuh jaringan antara institusi pendidikan dan industri.
“Antara kategori pertandingan yang dipertandingan termasuk Napkin Folding, Mocktail Making, Table Setting, Bed Making, dan Sandwich Making.
“Seramai 100 peserta daripada institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di Kota Kinabalu menyertai program kali ini meliputi tujuh gerai pameran industri dan 16 gerai pameran jualan termasuk peluang kerjaya melalui temuduga terbuka oleh ClubMed.
“Penghargaan diucapkan kepada pelbagai pihak industri dan pihak penaja yang sudi menyokong program kami. Antaranya seperti ClubMed, Shangri-La Rasa Ria, Le Meridien, Bestari, Yakult, Check Hup Sdn Bhd, Sabah Intrernational Convention Centre (SICC).
“Selain itu, Grandis Hotels and Resorts, Kedai Kopi Fook Yuen, Bestari Sales and Marketing Sdn Bhd, Sufian Cafe, Nasi Lapar 7Kens, Kedai Kopi Ding Hao, Affinity Global Solution dan Mania Jaguh Sport. Sokongan termasuk sumbangan bahan, hadiah cabutan bertuah, dan penyediaan fasiliti,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Dekan FPEP Dr. Izyanti Awang Razli; Ketua Program Pengurusan Hospitaliti, Dr. Andi Tamsang Andi Kele dan Penasihat Program, Marry Tracy Anak Pawan.