Project Heart to Hospitality Perkukuh Jalinan Siswa UMS dan Komuniti Di Bongawan

Cetak

 

Inisiatif Project Heart to Hospitality (PHoH) oleh kumpulan pelajar Program Pengurusan Hospitaliti, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memperkukuhkan jalinan antara pelajar universiti bersama komuniti setempat menerusi aktiviti yang dilaksanakan.

Program tersebut telah memilih Kampung Seri Serbang, Bongawan sebagai lokasi untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini.

Menurut pengarah program, Audray Pedroso, program anjuran pelajar Kursus Pengurusan Acara Hospitaliti dan dipimpin pensyarah FPEP, Marry Tracy Anak Pawan itu menjadi satu platform pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar bersama komuniti setempat.

“Program ini merangkumi pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan yang bertujuan memperkasa nilai insaniah serta keterlibatan sosial pelajar dalam mendekati masyarakat luar bandar

“Ini sekali gus mampu membantu mencapai objektif dalam menyemai semangat kepimpinan, memperkaya kemahiran komunikasi serta mempererat hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat melalui aktiviti interaktif dan sukarelawan,” katanya.

Audrey turut memaklumkan, antara aktiviti utama yang dijalankan termasuklah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) seperti pembinaan sudut permainan di Tabika KEMAS Kampung Seri Serbang, gotong-royong mengecat Surau Al-Hidayah serta pembinaan tugu kenangan pelajar UMS.

“Aktiviti ini turut melibatkan sesi bersama penduduk kampung dan pengagihan Bakul Rahmah kepada golongan yang memerlukan, yang melibatkan 20 buah keluarga sebagai penerima.

“Turut menjadi tarikan ialah sesi riadah dan kebudayaan seperti River Cruise & Firefly Viewing di Anjung Peranginan Seri Serbang, Sukaneka Kanak-Kanak dan Dewasa, serta Malam Nostalgia yang menampilkan persembahan pelajar dan komuniti tempatan. “Pelbagai persembahan tradisional, pertandingan, serta cabutan bertuah telah menceriakan suasana dan menggalakkan interaksi dua hala antara mahasiswa dan penduduk kampung,” katanya.

Malam nostalgia yang dijayakan juga katanya mendapat sambutan hangat daripada komuniti, selain aktiviti-aktiviti yang dijalankan turut menerima penyertaan daripada pelancong dari Korea dan China khususnya sewaktu aktiviti sukaneka diadakan.

Perasmian program tersebut disempurnakan Ketua Program Pengurusan Hospitaliti Dr. Andi Tamsang Andi Kele yang mewakili Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd. Karim, serta turut dihadiri Ketua Kampung Seri Serbang, Tuan Darimin Hj Dalhan, dan wakil komuniti, Jeffery Hossil.

Program yang dijayakan oleh lebih 80 siswa UMS bersama-sama penduduk kampung itu turut menerima tajaan dan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Yayasan Sabah dan Qhazanah Sabah Berhad.