UMS Mahu Teroka Pasaran Baharu Produk Pelancongan Biobudaya Di Tawau  

Cetak

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Institut Kajian Orang Asli Borneo (BorIIS) komited untuk meneroka peluang pasaran baharu untuk produk pelancongan biobudaya yang berkualiti tinggi di Tawau, Sabah.

Usaha tersebut bakal direalisasikan menerusi kerjasama membangunkan semula kawasan yang terbiar di Tawau dengan menggunakan “Model Biocultural Tourism dan Biophilic Design” dengan penglibatan syarikat tempatan, Sinar Majutera Sdn Bhd.

Pengarah BoRIIS, Prof. Madya Dr. Normah Abdul Latip memaklumkan, hasil penyelidikan yang bakal dijalankan berpotensi untuk dikomersialkan, terutamanya apabila pembangunan semula kawasan kajian menjadi satu kawasan “glamping site for tourism" yang baru di Tawau.

“Projek ini bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan melalui peningkatan produktiviti dan kualiti produk biobudaya pelancongan yang baru.

“Usaha ini turut berpotensi menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu khususnya di kawasan luar bandar Sabah.

“Ini sekali gus memberi manfaat kepada komuniti tempatan melalui peningkatan pendapatan dan kemahiran melalui kewujudan produk pelancongan baharu di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu taklimat ringkas berkaitan usaha kerjasama antara UMS dan syarikat tempatan tersebut dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMS bersama industri tempatan, baru-baru ini.

Normah turut menjelaskan, kerjasama bersama Sinar Majutera Sdn Bhd yang dimeterai menerusi MoA itu adalah projek penyelidikan yang dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah Program Industry Matching Grant (Geran IMaP) bagi tujuan kajian bertajuk “Ranggu Village: Pembangunan dan Penjenamaan Semula Melalui Pelancongan Biobudaya dan Rekabentuk Biofilik”.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam ucapannya berkata, pemeteraian MoA itu akan meningkatkan jalinan kerjasama strategik dalam penyelidikan antara UMS dan rakan industri.

“Perkongsian yang diwujudkan melalui perjanjian ini dijangka turut meningkatkan hubungan strategik sedia ada khususnya penyelidikan yang memfokuskan kepada pembangunan masyarakat luar bandar.

“Selain itu, hubungan sedemikian akan menawarkan penyelidik dan pelajar peluang rangkaian yang tidak ternilai dan pandangan tentang trend dan kemajuan kontemporari dalam bidang pembangunan masyarakat luar bandar, dengan tumpuan khusus kepada pelancongan biobudaya,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Kasim mewakili UMS menandatangani dokumen MoA, manakala Sinar Majutera Sdn Bhd. diwakili Pengarah Urusan, Dato’ Sri Nasir Tun Sakaran.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Majutera Sdn Bhd., Ahmad Syuaib Dato’ Sri Nasir.