Penganjuran Program “BIOSPARK 2025: Igniting Your Scientific Mind” di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau baru-baru ini menjadi inisiatif terkini Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam memperkasakan lagi pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Prof. Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah, program anjuran FST UMS dengan kerjasama U-Science UMS dan Persatuan Himpunan Ilmuwan UMS (HiUMS) itu antara lain bertujuan untuk memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang STEM, khususnya bioteknologi.
“Selain itu, program ini memberi peluang kepada pelajar universiti untuk mengembangkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, dan kerjasama melalui pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti.
“Ini sekali gus memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti dan masyarakat melalui pelaksanaan inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM),” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Program BIOSPARK 2025, Farrah Ayu Izzati Darwis memberitahu, seramai 190 pelajar Tingkatan 1 dan 2 MRSM Ranau termasuk lebih dari separuh bilangan pelajar daripada kalangan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah (B40) turut diberi peluang mengikuti program secara langsung, selain 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Timbua yang hadir pada sesi pameran berkaitan sains.
“Seramai 47 fasilitator yang terdiri daripada pelajar bioteknologi UMS memainkan peranan penting dalam mengendalikan pelbagai aktiviti seperti senamrobik, ceramah 3S: STEM, SPEAKER SERIES U-Science, pameran dan pertandingan.
“Justeru, pihak kami amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh semua pihak termasuk MRSM Ranau selaku tuan rumah BIOSPARK 2025 dan SMK Timbua yang sudi hadir dalam menjayakan program ini.
“Keberkesanan program ini terbukti apabila wujudnya interaksi dan diskusi yang aktif antara pelajar sekolah dan fasilitator bertepatan dengan objektif program ini diadakan,” katanya.
Beliau turut berharap agar program tersebut dapat diteruskan dan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain pada masa akan datang sebagai usaha berterusan memupuk budaya sains dan inovasi dalam kalangan generasi muda.
Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Dekan FST, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau, dan turut dihadiri Timbalan Pengetua Kecemerlangan Akademik MRSM Ranau, Diana Theresa Otigil.