UMS Perkukuh Peranan Serantau dalam Pendidikan Matematik

Cetak

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa apabila menjadi tuan rumah bersama bagi Pertandingan Jemputan Antarabangsa Matematik Asia Pasifik 2025 (Final PAP 2025) yang berlangsung baru-baru ini.

Pertandingan tersebut dianjurkan dengan kerjasama Hong Kong STEM (International Exchange) Association, Hong Kong Gifted Education Association, dan Macao Mathematic Olympics Association.

Pertandingan itu menghimpunkan seramai 53 peserta dari Hong Kong, Malaysia, China, Korea Selatan dan Macao untuk bersaing dalam cabaran matematik secara individu dan berkumpulan.

Peserta dari Malaysia telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dengan memenangi beberapa pingat individu serta pencapaian pasukan yang cemerlang, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Majlis penutupan Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Anugerah telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.

Beliau menekankan bahawa pertandingan tersebut bukan sekadar tentang angka, tetapi tentang nilai ilmu dan kreativiti yang merentas sempadan budaya.

“Matematik bukan sekadar nombor, ia adalah bahasa inovasi, logik dan penemuan. Melihat para pelajar kita mengaplikasikan prinsip ini dengan begitu cemerlang amat menginspirasikan.

“UMS beriltizam untuk terus menyokong pembangunan bakat muda dalam bidang STEM dan menjadikan Sabah sebagai pusat pertukaran ilmu global. Walaupun pertandingan telah berakhir, semangat pembelajaran dan kolaborasi yang dibina bersama akan terus berkembang,” katanya.

Kasim turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan acara ini, termasuk penganjur antarabangsa, para pendidik, ibu bapa, juri, sukarelawan serta peserta yang telah menyemarakkan suasana pertandingan dengan semangat dan dedikasi tinggi.

“Keberadaan anda semua telah menjadikan Sabah sebagai pusat pertukaran akademik global yang amat meriah.

“Saya berharap para peserta dapat membawa pulang pengalaman yang indah serta memperkuat semangat persahabatan yang telah terjalin semasa pertandingan ini.

“UMS akan terus komited dalam menyokong pembangunan bakat muda dan memperkukuh peranan Sabah sebagai hab ilmu serantau,” katanya.

Turut hadir, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS, Prof. Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee; Pengerusi the Association for Development of Professional Teachers, Dr. Lau Sau Ching Helen; Pengerusi Hong Kong Gifted Education Association, Cheung Hau Keung Frankie dan Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS, Prof. Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau.