JIWA 3.0 Perkasa Komuniti Luar Bandar dan Belia, Gilap Jiwa Sukarelawan Mahasiswa

Cetak

 

Program Jelajah Ilmu Watan 3.0 (JIWA 3.0): Borneo Relawan (BORELA) 2025 yang dilaksanakan oleh mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama rakan kolaborasi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) disifatkan sebagai platform penting untuk memperkasa komuniti khususnya masyarakat luar bandar dan belia melalui pendekatan holistik.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor berkata, program ini merangkumi enam pilar utama iaitu Pendidikan, Kesihatan, Keusahawanan, Transformasi Digital, Ketahanan Iklim serta Perpaduan dan Komuniti yang akan memberi manfaat terus kepada masyarakat di empat zon pelaksanaan iaitu Nabawan, Kalabakan, Betong dan Asajaya.

Kasim dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa program tersebut bukan sekadar program biasa namun ia memberi peluang kepada mahasiswa untuk memahami makna sebenar sukarelawan serta membina empati terhadap ujian dan permasalahan dalam kalangan masyarakat.

“JIWA 3.0 adalah tentang keberanian untuk turun bersama masyarakat, memahami realiti kehidupan sebenar mereka dan mencipta perubahan yang bermakna,” katanya.

Tambahnya, melalui aktiviti sukarelawan dan pemberian maklumat yang benar, ia mampu meningkatkan kualiti kehidupan komuniti setempat sekaligus menambah ilmu dan kesedaran dalam kalangan mahasiswa tentang kepentingan mempunyai jiwa sukarelawan.

Program Jelajah Ilmu Watan 3.0 (JIWA 3.0): Borneo Relawan (BORELA) 2025 berlangsung di Galeri Majlis, Bangunan Canselori Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini.

Ia menghimpunkan seramai 122 peserta yang terdiri daripada 62 mahasiswa UMS, 30 mahasiswa UNIMAS dan 30 mahasiwa dari UPSI.