Sudah tiba masanya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian dengan menempatkan pekerja sosial di sekolah bagi menangani masalah sosial dalam kalangan pelajar seperti kes buli, ponteng sekolah, ketidakupayaan belajar, kurang menghormati guru, dan masalah salah laku disiplin.
Demikian menurut Pakar Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Peter Voo ketika mengulas insiden kematian seorang pelajar di sekolah di Sabah baru-baru ini.
Katanya, usaha mewujudkan pekerja sosial di sekolah adalah amat penting ketika ini kerana tugas mendidik menjadi semakin mencabar dan rumit disebabkan perlu melalui proses yang berperingkat yang melibatkan pihak ibu bapa, sekolah, masyarakat dan kerajaan.
“Peranan Pekerja Sosial Sekolah meliputi tugas advokasi, pencegahan, pemulihan dan penghubung.
“Advokasi dengan membela hak pelajar, khususnya yang berisiko seperti pelajar miskin, anak yatim, pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) mampu mencegah masalah sosial sebelum menjadi krisis.
“Ini turut mampu membantu pelajar pulih daripada masalah tingkah laku atau trauma dan menjadi jambatan penghubung antara sekolah, keluarga, dan agensi kerajaan,” katanya.
Menurutnya lagi, di kebanyakan negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, United Kingdom, dan Singapura, pekerja sosial sekolah adalah sebahagian daripada pasukan sokongan pelajar bersama guru dan kaunselor di sekolah.
“Di Amerika Syarikat contohnya setiap daerah sekolah biasanya ada pekerja sosial sekolah sepenuh masa, manakala di Singapura, Skim “School Counsellor and Social Work Programme” menyediakan pekerja sosial yang ditempatkan di sekolah rendah dan menengah.
“Sekolah di Malaysia hanya mempunyai Guru Bimbingan dan Kaunseling, tetapi mereka sering terikat dengan tugas akademik tambahan.
“Ini berbeza dengan Pekerja sosial Sekolah kerana fokus mereka 100% kepada isu sosial, emosi, dan keluarga pelajar, dan mereka terlatih dalam pendidikan kerja sosial, termasuk pengurusan kes (case management) dan intervensi komuniti,” katanya.
Peter Voo turut menegaskan pendekatan tersebut dilihat mampu menangani isu kompleks yang memerlukan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis, atau hospital.
“Ini memberi kelebihan terhadap mengurangkan beban guru kaunseling sekiranya diwujudkan Pekerja Sosial Sekolah di sekolah-sekolah di Malaysia, khususnya dalam menangani isu buli, kemurungan remaja, dan masalah keluarga secara profesional.
“Pekerja Sosial Sekolah boleh menyokong pelajar berisiko supaya tidak tercicir daripada sekolah serta menyediakan rantaian bantuan antara sekolah dan agensi kerajaan yang lain,” katanya.
Tambahnya lagi, di UMS, program Kerja Sosial yang ditawarkan di FPKS telah melahirkan lebih 900 orang graduan terlatih dalam bidang kerja sosial sejak 2004 dan ramai dari graduan bidang kerja sosial UMS kini telah berkhidmat di hospital kerajaan dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) sebagai pekerja sosial.
“Justeru itu, UMS bersedia untuk membantu kerajaan dalam mengisi keperluan sumber manusia dalam bidang kerja sosial kerana saban tahun UMS melahirkan graduan mahir dan terlatih dalam bidang ini,” ujar Peter Voo.