Bengkel AI & Canva Inisiatif UMS Perkasa Strategi Pembelajaran Berasaskan Masalah

Cetak

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan Bengkel Penyelidikan: Integrating Generative AI & Canva in Problem-Based Learning Strategy for Academics baru-baru ini sebagai usaha memperkasa strategi pembelajaran berasaskan masalah di institusi pengajian tinggi.

Pengarah Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKEPT) UMS, Kamisah Binti Husin berkata, bengkel tersebut merupakan salah satu inisiatif kerjasama antarabangsa bagi memperkukuh kapasiti akademik warga universiti melalui penerapan kecerdasan buatan (AI) dan Canva dalam strategi Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL).

“Selain meningkatkan keupayaan pedagogi pensyarah, bengkel ini juga memupuk inovasi dan kreativiti dalam pengajaran.

“Bengkel ini turut membuka ruang kepada kerjasama serantau dalam kalangan institusi pendidikan tinggi, sambil memperkukuh usaha UMS untuk menyumbang sebagai rujukan bersama dalam inovasi pedagogi,” katanya dalam satu kenyataan sempena dengan perasmian bengkel tersebut. 

Kamisah turut memaklumkan, sepanjang bengkel tersebut, dua tenaga pengajar yang terlibat iaitu Prof Madya Dr Mohd Tazli Azizan dari UBD dan Ketua Pengarah Eksekutif Skolar Malaysia, Brandon Liau berkongsi kepakaran berkaitan penggunaan kecerdasan generatif (Generative AI) dan aplikasi Canva dalam strategi Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) bagi memperkukuh kreativiti, inovasi serta keberkesanan pengajaran.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan UBD, Skolar Malaysia serta semua peserta yang telah menjayakan bengkel tersebut.

“Harapan kami agar ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat diaplikasikan dan dikembangkan sebagai agen transformasi pendidikan tinggi di rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor ketika berucap merasmikan bengkel itu menekankan kepentingan pendidikan tinggi beradaptasi dalam era Revolusi Industri Keempat.

“Pada era kecerdasan buatan ini, peranan pendidik bukan lagi sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membimbing pelajar membentuk cara fikir, mengasah keupayaan menilai dan memperkukuh nilai kemanusiaan.

“Persoalan yang penting bukanlah sama ada AI atau Canva akan menggantikan kita, tetapi sama ada kita cukup bijak, berani dan bersedia menggantikan cara lama dengan pendekatan baharu,” ujar beliau.

Program tersebut menghimpunkan hampir 50 orang peserta, terdiri daripada 30 peserta UMS dan 20 peserta daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi luar, antaranya Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Kinabalu, Politeknik Kota Kinabalu, UNITAR Sabah, Kolej Eastern, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent, Jabatan Tenaga Manusia Cawangan Kota Kinabalu, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, dan Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu.

Program itu juga merupakan aktiviti pertama bagi inisiatif Sabah Higher Education Nexus (SHEN) yang diharapkan menjadi pemangkin kepada jaringan kerjasama akademik negeri Sabah dengan rakan serantau.