Perenang lasak negara, Mohd Ikhmil Fawedz Mohd Hanif, 51, mencatat sejarah apabila berjaya menamatkan renangan sejauh empat kilometer di laut terbuka dengan tangan serta kaki bergari, sempena Program Road to World Record di sini, pada Sabtu.
Beliau memulakan cabaran dari jeti Universiti Malaysia Sabah (UMS) menuju ke Pulau Sepanggar sebelum menamatkan renangan di Pantai Odec UMS.
Menurut Mohd Ikhmil, perjalanan renangan itu berlangsung lancar dengan pemantauan rapi pasukan pengiring yang mengiringinya sepanjang laluan.
“Saya rasa selamat sepanjang renangan ini, dan itu amat penting bagi seorang perenang profesional, lebih-lebih lagi untuk jarak sejauh ini,” katanya ketika ditemui selepas acara.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, cabaran berkenaan menjadi simbol kekuatan, perpaduan dan keberanian, selain sebagai dorongan kepada generasi muda agar berani menghadapi halangan hidup.
“Renangan dengan tangan dan kaki bergari ini adalah simbolik bahawa walaupun berdepan gelora kehidupan, kita mesti terus melangkah ke hadapan dan jangan biarkan sesaat kegagalan menjadi penyesalan seumur hidup,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pencapaian yang diraih tidak datang secara mudah, sebaliknya menuntut tempoh latihan konsisten selama lebih sedekad, selain berdepan pelbagai kekalahan dan kesukaran.
"Namun yang lebih utama adalah kesanggupan kita memperuntukkan masa dan usaha. Dengan ketekunan, perkara luar biasa boleh dicapai,” katanya.
Bagaimanapun, cabaran tetap hadir apabila beliau mengalami kekejangan otot serta keletihan akibat arus kuat dan rasa lapar ketika berada di kawasan laut dalam, namun tetap meneruskan renangan hingga ke garisan penamat.
Beliau berjaya menamatkan renangan pada jam 1.54 tengah hari dan disambut dengan tepukan gemuruh daripada masyarakat setempat yang hadir.
Program Road to World Record itu turut menjadi langkah awal Mohd Ikhmil untuk melakar nama dalam Malaysia Book of Records, sebelum mencuba memecahkan rekod dunia pada Ogos 2026 di Johor.
“Kami masih meneliti lokasi penganjuran, kemungkinan besar di Desaru atau Forest City, bergantung kepada perkenan Kebawah Duli Tuanku,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor melalui ucapan yang dibacakan Pendaftar Luqman Ridha Anwar mengucapkan tahniah kepada Mohd Ikhmil dan pasukannya atas kejayaan bersejarah itu.
Beliau berharap pencapaian tersebut menjadi inspirasi kepada generasi muda, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam marin.
Turut hadir menyaksikan acara itu ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan Keselamatan Maritim Prof Datuk Dr Ismail Ali, Naib Presiden Borneo Sales Andy Chai Chee Teck, Ketua Pegawai Eksekutif Beau Villas IBS Sdn Bhd Michael He Long, selain pegawai dan ketua jabatan UMS.