UMS Anjur Persidangan Empowering Leadership 2.0 Perkukuh Kepimpinan Adaptif

Cetak

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) menganjurkan International Empowering Leadership Conference 2.0 bertemakan Empowering the New Era of Leadership with Artificial Intelligence di Grand Ballroom, Shangri-La Tanjung Aru, baru-baru ini.

Persidangan dua hari itu menghimpunkan tokoh akademik, industri, kerajaan dan masyarakat bagi membincangkan peranan kepimpinan dalam era kecerdasan buatan (AI), dengan penyertaan syarikat teknologi terkemuka antaranya Huawei, Toyota, Aerodyne, Google Cloud dan Indah Water Konsortium.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan khasnya berkata Malaysia komited membangunkan ekosistem AI berasaskan etika, kelestarian dan keterangkuman.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan Scopus AI di semua 20 universiti awam, menjadikan Malaysia negara pertama di Asia Pasifik melaksanakan teknologi penyelidikan itu secara menyeluruh.

“The National AI Roadmap 2030 telah menggariskan visi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah AI Nation.

“Visi ini berteraskan kepada usaha memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat, merangsang inovasi, serta reformasi terhadap sistem pentadbiran Kerajaan,” katanya.

Sepanjang persidangan, peserta diberi pendedahan kepada empat tonggak utama kepimpinan era AI iaitu budaya kepimpinan, teknologi, ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) serta kepimpinan beretika.

Sementara itu, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dalam ucapan penutupnya menekankan kepentingan kepimpinan adaptif dalam menghadapi ketidaktentuan semasa.

“Dalam era perkembangan teknologi yang pesat, kepimpinan adaptif bukan sekadar reaktif tetapi proaktif, berasaskan nilai dan berpandangan jauh.

“Keupayaan untuk mendengar, belajar dan memimpin dengan cekap adalah kunci kejayaan.

“Saya berharap persidangan ini menjadi pemangkin idea baharu, kolaborasi rentas sempadan dan penerapan AI secara bertanggungjawab.

“UMS berkomitmen untuk terus menjadi hab dialog, penyelidikan dan pembangunan kepimpinan melalui kerjasama strategik bersama AKEPT dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi,” tambah Luqman lagi.

Turut hadir dalam persidangan ialah Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly.