Seramai 5,123 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi 2025/2026 yang mula mendaftar pada 27 hingga 28 September 2025.
Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor, jumlah tersebut melibatkan 4,167 pelajar di UMS Kampus Kota Kinabalu, 734 pelajar di UMS Kampus Antarabangsa Labuan, dan 222 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.
“Jumlah ini merangkumi 3,648 (71.21%) pelajar dari Sabah, 928 (18.11%) dari Semenanjung Malaysia, 453 (8.84%) dari Sarawak, dan 73 (1.42%) dari Wilayah Persekutuan Labuan dan 21 (0.41%) merupakan pelajar antarabangsa.
“21 pelajar selebihnya merupakan pelajar antarabangsa dari lapan buah negara, iaitu Negara China, Jepun, Korea, Bangladesh, Pakistan, India, Indonesia dan Timor Leste,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan pendaftaran pelajar di sini.
Kasim turut memaklumkan, berdasarkan statistik tersebut, sejumlah 1,791 orang atau 34.96 peratus adalah pelajar lelaki, manakala 3,332 orang atau 65.04 peratus merupakan pelajar perempuan.
“Pengambilan pelajar pada sesi ini turut merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UMS iaitu sebanyak 2,830 bagi pelajar B40 ambilan UPUonline, 8 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan 12 atlet sukan.
“Kesemua pelajar baharu akan mengikuti program Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 1 Oktober ini sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri dalam suasana kehidupan kampus,” katanya.
Dalam pada itu, Kasim ketika melakukan tinjauan di kolej-kolej kediaman memaklumkan, kemudahan-kemudahan yang terdapat di kolej kediaman termasuk bekalan air pada tahap yang baik dan bersedia untuk menampung keperluan pelajar pada sesi pengajian ini.
“Pentadbiran universiti juga telah menetapkan masa-masa tertentu yang berbeza bagi urusan pendaftaran antara pelajar baharu sebagai usaha untuk mengelakkan kesesakan pada hari pendaftaran.
“Justeru, dapat dilihat suasana dan proses pendaftaran pada hari ini begitu teratur hasil penambahbaikan yang dilakukan,” ujar beliau.