Warga Akademia Perlu Tingkat Penguasaan Teknologi, AI Hadapi Cabaran Semasa – Naib Canselor UMS

Cetak

 

Warga akademia perlu melengkapkan diri dengan penguasaan teknologi dan kemahiran berkaitan kecerdasan buatan (AI) dalam mendepani cabaran era AI pada masa kini, khususnya dalam konteks pendidikan tinggi.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, AI bukan lagi teknologi masa hadapan, sebaliknya kini menjadi realiti dalam kehidupan seharian.

”Ini termasuk aktiviti dalam makmal penyelidikan, sistem pentadbiran dan bilik kuliah.

”AI membuka lembaran baharu terhadap cara ilmu disampaikan dan diakses, serta memperkasa kualiti pengajaran, penyelidikan dan pembelajaran yang diperibadikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Minggu Akademia UMS 2025 anjuran Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) di sini.

Kasim turut mengingatkan warga akademia berkaitan keperluan menguasai teknologi AI secara bijaksana dan beretika agar benar-benar memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat.

“Sebagai ahli akademik, kita bukan sahaja penyampai ilmu tetapi pembentuk pemikiran masa depan.

”Maka, penguasaan teknologi mesti disertai dengan penerapan nilai moral, etika dan akhlak seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

”Pembangunan graduan berkualiti memerlukan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan nilai kemanusiaan agar mereka mampu menjadi profesional, berintegriti serta celik teknologi dan nilai sahsiah,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai Minggu Akademia UMS 2025, Kasim berkata program tahunan tersebut merupakan manifestasi komitmen universiti terhadap kecemerlangan pendidikan tinggi yang berteraskan inovasi dan teknologi.

“Tarikh 5 Oktober setiap tahun adalah hari yang istimewa buat semua warga akademia sebagai hari penghargaan terhadap jasa keilmuan dan pemikiran yang tidak kenal penat lelah mendidik anak bangsa demi melonjakkan pendidikan tinggi negara ke tahap global.

“Di samping itu, program ini menjadi platform penting untuk menilai, menghargai serta memperkukuh peranan ahli akademik dalam mencorak masa depan pendidikan tinggi dan pembangunan negara,” katanya.

Tema penganjuran tahun ini iaitu ‘Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Tinggi’ juga katanya amat bertepatan dengan keperluan semasa yang memerlukan ketangkasan intelek, kepimpinan berwibawa dan inovasi berterusan.

Hadir sama pada perasmian program tersebut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran selaku penceramah Wacana Akademia; bersama Tmbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr Rossita Shapawi; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; dan Pengarah PKKA, Dr. Denis Andrew D. Lajium.