Cekal Harungi Kekangan, Graduan OKU FPSK Sedia Galas Tugas Doktor Pelatih

Cetak

 

Kejayaan menamatkan pengajian dalam bidang perubatan menjadi detik bermakna buat anak kelahiran Tawau, Dr. Mohd Iqman Shazaril, 24, dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang bukan sahaja melakar pencapaian peribadi tetapi turut menjadi kebanggaan keluarga.

Beliau berasa bersyukur kerana dapat menghadiahkan kejayaan yang membanggakan itu kepada kedua-dua ibu bapanya.

“Saya sangat gembira sebab dapat menamatkan pengajian ini,” katanya.

Sepanjang pengajian, beliau berdepan dengan pelbagai cabaran, namun semuanya mampu diatasi dengan usaha dan kesabaran yang berterusan.

“Masalah penginapan yang saya hadapi dapat diatasi kerana UMS menyediakan tempat khas untuk golongan seperti kami,” jelasnya.

“Dari segi ekonomi pula, saya telah  memohon bantuan kewangan seperti Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) yang saya terima setiap semester.”

Walaupun diuji dalam pelbagai aspek, kejayaan dalam setiap peperiksaan menjadi detik paling membahagiakan baginya.

“Pengurus Pusat Pengurusan OKU, Dr Zaiton Mohamad dan salah satu kakitangannya, Farah Awang Alias banyak membantu saya dalam pengurusan kolej kediaman, kewangan dan penerimaan bantuan serta fasiliti lain,” ujarnya.

Menurutnya lagi, peranan Pusat Pengurusan OKU UMS sangat besar dalam memastikan pelajar berkeperluan khas sepertinya  sentiasa mendapat akses pendidikan yang adil dan selesa.

Sementara menunggu penempatan 'housemanship' yang dijadualkan bermula Januari depan, beliau bercadang untuk membuat kerja sambilan lain terlebih dahulu. 

“Bermula 19 Januari 2026, saya akan mula bertugas sebagai doktor junior di Hospital Tawau,” katanya penuh keterujaan.

Sebagai individu kelainan upaya (OKU), Dr. Iqman mengakui bahawa keyakinan diri sering menjadi cabaran utama, namun hal itu tidak pernah menjadikannya mudah mengalah.

“Mempunyai kekurangan fizikal sememangnya membuatkan keyakinan saya kurang dari orang lain, tapi itu tidak membuat saya berhenti mengejar kejayaan saya.”

Kejayaan Dr Iqman membuktikan kecemerlangan dapat dicapai melalui kecekalan dan fokus yang berterusan, menjadikannya simbol kekuatan bagi mahasiswa lain termasuk pelajar OKU.

 

(artikel disediakan oleh Rachel Annatasha Hilarius, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)