UMS Perkasa Pendidikan Inklusif Kanak-Kanak Autisme melalui Program ‘Riang Ria Istimewa’

Cetak

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan komitmennya dalam memperkasa pendidikan komuniti melalui penganjuran program ‘Riang Ria Istimewa’, sebuah inisiatif bermakna yang memberi fokus kepada sokongan intervensi awal untuk kanak-kanak autisme, baru-baru ini.

Program anjuran Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS itu berlangsung di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKU) Sembulan, di bawah seliaan Pusat Autisme Sabah.

Melalui pendekatan pembelajaran yang holistik, interaktif dan menyeronokkan, program ini berperanan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap keunikan kanak-kanak autisme serta memupuk budaya pendidikan inklusif.

Menurut Pensyarah Kanan Program PAKK, Dr. Juppri Bacotang, penganjuran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UMS untuk memberikan pengalaman pembelajaran amali kepada pelajar.

“Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk melihat bagaimana teori pendidikan khas diaplikasikan dalam senario sebenar. Lebih penting, ia melatih mereka memahami emosi, tingkah laku dan potensi anak-anak autisme melalui pendekatan berasaskan kasih sayang dan kefahaman mendalam,” jelas beliau.

Beliau menambah, penyertaan pelajar dalam program itu juga dapat membentuk profesionalisme dan empati dalam diri mereka sebagai bakal pendidik awal kanak-kanak yang berpengetahuan dan penyayang.

Program berimpak tinggi itu melibatkan 15 mahasiswa PAKK semester enam bersama guru serta petugas TDKKU Sembulan, dengan penyertaan kira-kira 20 kanak-kanak autisme.

Kehadiran Penguasa TDKKU Sembulan, Mary Sipaji turut menyerikan program dan menyatakan penghargaan atas usaha murni UMS.

“Pendekatan yang digunakan pelajar UMS sangat positif. Anak-anak kami seronok, aktif dan lebih berinteraksi. Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan,” ujar Mary.

Antara pengisian utama ialah sesi "Circle Time” untuk membina keyakinan diri serta aktiviti stesen interaktif yang memfokuskan perkembangan sensori, motor halus dan kasar, kognitif, serta muzik dan pergerakan.

Aktiviti tersebut direka mengikut tahap perkembangan individu, sekali gus membolehkan setiap kanak-kanak terlibat dengan selesa pada kadar kemampuan masing-masing.

Pengarah Program, Nur Aima Syahira Suhardi berkata penganjuran tersebut membuka ruang pembelajaran luas buat mahasiswa bagi memahami keperluan pendidikan khas.

“Kami belajar bahawa setiap anak mempunyai cara tersendiri untuk belajar dan berinteraksi. Pengalaman ini menjadikan kami lebih sabar, peka dan yakin untuk menjadi guru yang inklusif,” katanya.

Program ‘Riang Ria Istimewa’ mencerminkan komitmen UMS dalam memperluas akses pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat, seiring aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4): Pendidikan Berkualiti Tanpa Mengira Keupayaan.

Usaha murni ini diharap dapat diteruskan sebagai platform pembangunan profesional pelajar, selain menyokong kesejahteraan kanak-kanak berkeperluan khas dalam komuniti.