Tabung Haji Anjur Kursus Perdana Haji Negeri Sabah di UMS

Cetak

Oleh Sainah Mustakim

kursus haji2015ISNIN, 03 OGOS –  Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi terpilih sebagai lokasi penganjuran Kursus Perdana Haji Musim Haji 1436H/2015M Peringkat Negeri Sabah (Zon Pantai Barat) yang berakhir kelmarin di Masjid UMS.

Kursus selama dua hari itu disempurnakan Yang Di-Pertua Negeri Sabah merangkap Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tun (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin.

Dalam ucapannya beliau mengingatkan bakal haji Malaysia agar menjaga nama baik negara ini yang sering mendapat pujian Kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah haji yang mempunyai akhlak terpuji dan berdisiplin.

“Tujuan Kursus Perdana Haji ini dianjurkan adalah untuk memberi peluang bakal-bakal haji menjalankan amali ibadat haji dan umrah dengan tertib dan betul serta dapat memberi gambaran sebenar semasa berada di Tanah Suci nanti, syabas dan tahniah kepada pihak pengurusan Tabung Haji yang telah melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Tabung Haji, Haji Ahmad Sohaimi Dato’ Abd. Rahim ketika ditemui media turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak UMS atas kerjasama dan komitmen yang baik dalam menyediakan tempat dan kemudahan logistik kepada hampir 350 peserta bakal haji.

Turut hadir pada majlis itu, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Mohd. Ariffin Haji Mohd. Arif; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dan Pengarah Tabung Haji Negeri Sabah, Datin Hajah Nurlaila Haji Said. -SM-

Bahagian Media dan Citra
Foto: Martubat Jamlan, BPK