Maklumkan Peraturan Kolej, Tiada unsur Politik: Timbalan Naib Canselor HEPA

Cetak

Dr. Ismail AliKHAMIS, 03 SEPTEMBER - Dakwaan yang melaporkan Minggu Suai Mesra Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kampus Antarabangsa Labuan berunsurkan politik adalah tidak benar.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali berkata, program yang dimaksudkan berunsurkan politik sebenarnya satu pengisian yang memberi penerangan melalui sketsa tentang kehidupan mahasiswa di dalam kampus termasuk perkara-perkara yang dilarang dalam kolej kediaman berdasarkan Kaedah-kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999.

“Sebanyak lapan sketsa telah dipersembahkan bagi memberi kefahaman kepada mahasiswa baharu iaitu larangan memasak, berjudi dan memiliki arak; penukaran bilik tanpa kebenaran, berdua-duaan (dating), balik lewat melebihi jam 11.00 malam, merokok di kawasan kolej kediaman, pakaian menjolok mata, pemakluman waktu senyap di kolej kediaman dan larangan menganjurkan perhimpunan di kolej,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, pelajar yang menghantar video mungkin kurang memberi tumpuan lantaran memberikan kenyataan yang salah berhubung sketsa yang dipersembahkan.

Malah katanya, video yang dikaitkan dengan perhimpunan BERSIH itu juga jauh terpesong memandangkan ia hanya sebuah sketsa larangan perhimpunan di kawasan kolej kediaman dengan mengambil masalah air sebagai contoh untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada pelajar.

“Program ini juga bertujuan memaklumkan bahawa fungsi pengurusan kolej kediaman, Majlis Perwakilan Pelajar, Jawatan Kuasa Kebajikan Mahasiswa sebagai saluran yang betul untuk meyalurkan aduan tentang masalah yang dihadapi,” tambah Dr Ismail.

Beliau turut menasihatkan agar para pelajar sentiasa memberi sepenuh perhatian dalam setiap pengisian sepanjang program minggu suai mesra bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.