Tingkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris untuk Terus Bersaing: Tan Sri Azman Hashim

Cetak

Oleh Salbinous Saribun

Foto: Musaab Umair

KHAMIS, 08 OKTOBER – Para pelajar harus mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris selain berilmu pengetahuan tinggi agar mampu bersaing di dunia yang kompetetif, kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan AMCORP, Tan Sri Azman Hashim.

Katanya, ramai yang malu untuk bercakap dalam bahasa Inggeris pada masa kini sedangkan 80 peratus negara di dunia menggunakan bahasa tersebut sebagai perhubungan antarabangsa.

“Sebagai contoh di negara China, bahasa yang digunakan pada setiap papan tanda arah ialah bahasa Cina dan Inggeris. Demikian juga di Madinah, Arab Saudi yang menggunakan bahasa Arab dan Inggeris pada papan tanda yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan hampir 5,000 pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Syarahan Kinabalu di Dewan Canselor, UMS, kelmarin.

Tan Sri Azman yang juga Pengerusi Kumpulan AmBank berkata, sektor swasta juga kini amat menekankan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan kakitangannya.

“Sehubungan itu, asas kepada pengambilan kakitangan dalam sektor swasta juga ialah wajib mempunyai penguasaan dalam bahasa Inggeris,” jelasnya lagi.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, serta ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pegawai-pegawai Utama universiti.