Bahagian Perundangan dan Integriti anjur Taklimat ‘Hadir Jangan Tak Hadir’

Cetak

Oleh Sainah Mustakim

ISNIN, 19 OKTOBER - Hampir 50 pegawai bersama kakitangan yang menyelia e-attendance di jabatan masing-masing  menghadiri taklimat anjuran Jabatan Pendaftar baru-baru ini.

Taklimat bertajuk ‘Hadir Jangan Tak Hadir’ itu disampaikan Ketua Bahagian Perundangan dan Integriti jabatan berkenaan, Awang Suhaizam Bungso.

Taklimat selama dua jam itu antara lain bertujuan memberi pemakluman kepada ketua jabatan dan penyelia cuti bagi menangani ketidakhadiran kakitangan di Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit (JFPIU) masing-masing.

Dalam taklimatnya, Awang Suhaizam memberitahu, ketidakhadiran untuk bertugas tanpa cuti atau terlebih dahulu mendapat kebenaran atau tanpa sebab yang munasabah boleh menyebabkan seseorang kakitangan dikenakan tindakan tatatertib.

Beliau kemudiannya turut menjelaskan peranan ketua jabatan untuk memaklumkan kepada Jawatankuasa Tatatertib mengenai sebarang kesalahan tidak hadir tanpa cuti selaras Pekeliling Pendaftar Bilangan 11/2009 bertarikh 15 Disember 2010: Garis Panduan Prosedur Pengendalian Ketidakhadiran Bertugas Kakitangan UMS.

“Kita tidak perlu takut untuk melaporkan mana-mana kakitangan yang didapati tidak hadir bertugas tanpa cuti dan ingkar perintah agar tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan,” tambahnya.

Hadir sama pada majlis itu, Luqman Ridha Anwar, Ketua Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar.

Foto: Hadijah Engson