UMS Jayakan Program Komuniti STEM di SMK Mat Salleh Ranau

Cetak
SELASA, 20 OKTOBER - Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh Ranau mengadakan Program Komuniti Sekolah Luar Bandar baru-baru ini.

Menurut penyelia program, Dr. Siew Nyet Moi @ Sopiah Abdullah, program itu yang bertujuan mengukuhkan pemahaman mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) disertai 48 pelajar tingkatan empat jurusan Sains Tulen sekolah berkenaan.

“Ia juga bagi menggalakkan pemikiran kritis, daya penyelesaian masalah, kreativiti dan inovasi serta komunikasi dan kerjasama antara ahli dalam aktiviti berkumpulan,” katanya ketika dihubungi media.

Jelasnya, penglibatan pelajar dalam setiap aktiviti yang dijalankan dilihat sangat memberangsangkan sekali gus mencungkil kreativiti mereka secara menyeluruh khususnya dalam aspek penyelesaian masalah.

“Para pelajar juga turut menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi serta saling berkongsi idea bagi menghasilkan rekaan yang terbaik dalam tiga cabaran yang diberikan iaitu aktiviti Menara Tangki Air, Jambatan Kertas dan Survival Gempa,” tambah Dr. Siew lagi.

Program selama dua hari itu dikelolakan sepenuhnya siswa-siswi pascasiswazah UMS bagi jurusan Sarjana Pengurusan Pendidikan. -ZMD

 Sumber : Fakulti Psikologi dan Pendidikan