KESUMBA Julang UMS pada Kejohanan Bola Jaring

Cetak
ISNIN, 09 NOVEMBER - Kelab Surirumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) muncul juara dalam kejohanan Bola Jaring Piala Toh Puan 2015 yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas, kelmarin.

Kejohanan anjuran Persatuan Bola Jaring  Negeri Sabah (SABANA) menyaksikan KESUMBA menewaskan Persatuan Alumni Maktab Sabah (OSCA) dengan jaringan 16-9 pada perlawanan akhir sekali gus menerima wang tunai RM1,000, piala iringan, medal dan sijil penyertaan berserta minuman isotonik tajaan F&N.

Menurut Pengurus Pasukan, Titien Irdianawaty Dabal, meskipun KESUMBA terpaksa bermain dengan jumlah pemain yang terhad, namun kesungguhan yang dipamerkan setiap ahli telah membawa kemenangan buat mereka.

“KESUMBA memilih untuk bermain dengan santai memandangkan jumlah pemain adalah terhad, iaitu dengan hanya seorang pemain gantian. Tetapi pujian harus diberikan kepada para pemain atas kebijaksaan mereka mengawal penguasaan dalam setiap perlawanan sekali gus mengekalkan momentum kemenangan sehingga muncul juara kejohanan,” ujarnya ketika dihubungi.

Sementara itu, pemain KESUMBA, Dayang Anak Manggie turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan manakala Redzanizah Duman (OSCA) dipilih sebagai penjaring terbanyak dengan 93 jaringan.

OSCA yang akur dikedudukan naib juara  turut menerima wang tunai RM700, piala, medal, sijil penyertaan dan minuman tajaan F&N.

Tempat ketiga dimenangi pasukan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah selepas menewaskan Jabatan Imigresen 24-21 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.