Bakti Siswa UMS Di Kg. Sinisian Kundasang

Cetak
SELASA, 8 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) sentiasa komited dalam memastikan kecemerlangan akademik siswa-siswi turut diimbangi dengan pembangunan daya kemahiran insaniah, kepimpinan dan ketrampilan pelajar melalui pelbagai kegiatan di luar kampus.

Terbaru, Program Anak Angkat Persatuan Interaksi Institusi dan Masyarakat (INTERIM) di Kampung Sinisian, Kundasang dilihat bukan sahaja memberi peluang interaksi pelajar UMS bersama masyarakat kampung, malah mampu membentuk jati diri pelajar melalui pengalaman kehidupan bermasyarakat serta pengamalan nilai-nilai moral dan etika yang baik.

Program selama dua hari itu menyaksikan seramai 40 orang pelajar yang kebanyakannya merupakan pelajar tahun pertama UMS diberi peluang merasai kehidupan bersama keluarga yang berlainan bangsa, agama dan budaya.

Sebagai sesi pengenalan, para pelajar UMS dibawa melawat ke kebun sayur-sayuran yang merupakan antara sumber ekonomi penduduk kampung setelah pembahagian anak angkat dilakukan. Lawatan ini sedikit sebanyak memberi pengetahuan kepada pelajar akan aktiviti seharian penduduk kampung dalam menjana pendapatan harian.

Para pelajar kemudiannya mula melaksanakan aktiviti berbentuk interaksi bersama penduduk kampung seperti sukaneka, gotong royong dan persediaan pertandingan Edu Camp, satu aktiviti yang memfokuskan bidang pendidikan menguji kebolehan daya fikir secara kreatif kepada kanak-kanak. Hari pertama pelajar UMS diakhiri dengan program Malam Kebudayaan di Dewan Walai Tokou dengan pelbagai persembahan yang dipentaskan memberi satu hiburan dan keriangan kepada penduduk kampung.

Hari kedua program menyaksikan para pelajar terpaksa bangun lebih awal bagi aktiviti cabaran Walai Tokou yang bermula seawal jam 5.40 pagi. Cabaran ini benar-benar menguji daya ketahanan mental dan fizikal setiap siswa UMS untuk berdepan keadaan suhu sejuk di kampung tersebut.

Program bakti siswa UMS tersebut berakhir dengan penyampaian hadiah dan sumbangan bagi pertandingan Edu Camp yang diadakan selepas cabaran Walai Tokou. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS,Tun Zaki Tun Azmi. Tun Zaki kemudiannya mengadakan lawatan di sekitar kampung tersebut, serta menanam pokok bunga sebagai simbolik penganjuran program anak angkat di Kampung Sinisian.

Walaupun singkat, namun pengalaman dua hari di Kampung Sinisian, Kundasang banyak memberi pengalaman kepada para pelajar UMS untuk mengenali pelbagai aspek kehidupan di kampung tersebut yang memberi manfaat dari segi membentuk daya kemahiran insaniah kepada peserta.