Akuarium dan Muzium Marin UMS Catat 39, 029 Pelawat Sepanjang 2015

Cetak

Oleh Salbinous Saribun

SELASA, 05 JANUARI – Akuarium dan Muzium Marin Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatatkan 39, 029 kehadiran pengunjung  sepanjang tahun 2015.

Menurut kurator muzium, Flora Anne Asalin, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan seramai 4,625 pelawat berbanding 34,404 orang pada tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut,  33,171 adalah pelawat warganegara,  5,232 pelawat antarabangsa  dan selebihnya adalah tetamu rasmi universiti, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta warga UMS sendiri,” katanya ketika dihubungi media universiti.

Katanya, peningkatan kehadiran pelawat itu juga menunjukkan Akuarium dan Muzium Marin UMS terus menjadi pilihan sebagai salah satu destinasi pelancongan apabila berada di Kota Kinabalu.

“Pihak muzium juga berjaya menjana kewangan sebanyak RM177,772.49  berbanding RM149,416.00  pada tahun lalu melalui bayaran masuk yang dikenakan kepada setiap pelawat,” tambah Flora lagi.

Muzium yang dikendalikan di bawah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) itu dibuka kepada orang ramai pada setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum bermula pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang.