Pusat Hemodialisis UMS – YKN Bakal Beroperasi Februari Depan

Cetak

Oleh Faezah Mohamad Dun

Foto Musaab Umair

KHAMIS, 14 JANUARI - Pusat Hemodialisis Universiti Malaysia Sabah – Yayasan Kebajikan Negara yang terletak di Plaza Kingfisher Kota Kinabalu dijangka akan mula beroperasi pada Februari depan.

Perkara tersebut dinyatakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Bangunan Canselori UMS, hari ini.

Menurut Datuk Harun, sebanyak 10 mesin rawatan hemodialisis telah disumbangkan YKN bertujuan untuk memberikan bantuan kebajikan kepada pesakit yang memerlukan rawatan.

“Saya juga berharap agar usaha murni antara UMS dan YKN ini dapat memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada masyarakat setempat dan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan,” ujarnya.

Pewujudan pusat haemodialisis itu dicetuskan melalui satu  perbincangan ringkas antara UMS dan YKN pada tahun lalu.