K-Shoppe dan KopieSatu di Kampus UMS

Cetak

SELASA, 15 MAC – Kedai K-Shoppe dan francais KopieSatu yang bakal diwujudkan di kampus Universiti Malaysia Sabah bakal memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami urus tadbir bidang perniagaan.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, FAMA memperuntukkan sebanyak RM75,000 untuk menubuhkan kedai K-Shoppe, yang akan dibina dalam masa terdekat di bawah program Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis) UMS.

“Urus niaga kedai-kedai ini akan dijalankan sendiri oleh pelajar UMS, dan usaha ini bukan sahaja menambah pengetahuan dalam bidang perniagaan, tetapi turut memberi peluang kepada pelajar untuk menggunakan kebijaksanaan dalam mempertingkatkan kemahiran masing-masing.

“K-Shoppe adalah sebuah kedai yang menjual barangan keperluan dan boleh membawa keuntungan baik kepada pelajar mahupun kepada universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena Program Ceramah Motivasi Keusahawanan dan Pelancaran Kelab MyAgrosis UMS di Dewan Bankuasi, UMS baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan kedai KopieSatu yang berkonsepkan francais akan dibina selepas penubuhan kedai K-Shoppe.

Menurutnya, KopieSatu adalah kedai minuman kopi tempatan yang mempunyai cawangan di universiti.

“Selepas tamat pengajian, graduan yang mahu menguruskan perniagaan kedai KopieSatu akan dibantu oleh FAMA untuk berniaga,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Tan Sri Badruddin turut menyempurnakan pelancaran MyBestBuy di tapak letak kereta Bangunan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah. -MA

Foto: Musaab Umair