UMS Universiti Pertama Di Malaysia Tawar Pakej Eko Pelancongan

Cetak
RABU, 30 MAC – Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjadi universiti pertama di Malaysia yang menawarkan pakej eko pelancongan di dalam kampus melalui pelancaran EcoCampus Visitor Information Centre (EVIC) bersama-sama dengan pakej tersebut yang dijadualkan bermula pada bulan April ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dalam amanat beliau bersempena Majlis Amanat Naib Canselor 2016: UMS Bersatu Melangkah Maju di Dewan Canselor UMS pagi tadi.

Menurut beliau, inisiatif ini adalah sejajar dengan pelancaran “Malaysia 101 Edutourism Packages” oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui University Community Transformation Centre (UCTC) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia pada 15 Ogos 2015, yang menerapkan konsep pelancongan dalam kampus dengan menawarkan pelbagai pakej pelancongan berasaskan ilmu.

“Pusat EVIC di Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) ini akan menjadi ruang maklumat tarikan pelancong dan pakej-pakej pelancongan di UMS, dengan komponen penting pusat ini antaranya pusat galeri dan penerangan pelancongan, pembelian tiket berpusat dan pakej pelancongan serta kedai cenderahati.

“Untuk menjadikan kawasan EVIC ini lebih menarik, selain dari landskap yang unik, eco-cafe juga akan disediakan bagi memberi kemudahan kepada pengunjung UMS, dan akan diluaskan lagi merangkumi kawasan tasik FSSA yang akan dimajukan sebagai kawasan ”EcoCampus Park” yang pastinya akan turut menjadi tarikan utama pelancong pada masa akan datang,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini terdapat lima pakej pelancongan yang ditawarkan oleh UMS merangkumi pakej harian dan pakej bermalam berasaskan Green Tourism dan Nature Tourism.

“Lima pakej tersebut ialah Pakej Lawatan Galeri & Muzium (Gallery & Museum Tour), Pakej Penghayatan Alam Semulajadi (Nature Delight Tour), Pakej Warisan Arkitektual (Architecture Heritage Tour), Pakej Penghayatan Senja (Sunset Tour) dan Kem Pendidikan Alam Semulajadi (Nature Education Camp).

“Pusat EVIC juga akan berperanan sebagai pusat penjualan tiket secara berpusat sekaligus memudahkan pembelian tiket ke lokasi yang ingin dilawati.

“Di samping itu, kemudahan buggy car yang menggunakan  tenaga elektrik juga akan disediakan bagi pelancong yang ingin menikmati panorama pemandangan sekitar kampus dan sekali gus dapat membantu dalam pengurangan carbon footprint,” ujarnya. -MA-

Foto: Suzeanywati Gasinin