80 Pemimpin Pelajar Jayakan Kursus Etiket Dan Protokol

Cetak
SELASA, 12 APRIL -  Seramai 80 peserta merangkumi Majlis Perwakilan pelajar (MPP), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), kelab, sekretariat,  dan fakulti universiti menjayakan Kursus Etiket dan Protokol di Bilik Seminar, Anjung Siswa UMS baru-baru ini.

Dalam kursus tersebut penceramah jemputan iaitu Penolong Perunding Latihan Kampus INTAN Sabah, Zaafar Md Sanid telah menerangkan lima modul utama dalam pengurusan etiket dan protokol, iaitu teknik penampilan profesional, komunikasi, etika perhubungan profesional, pengurusan majlis-majlis rasmi dan etika di meja makan.

Menurutnya, kursus ini memberi peluang kepada para peserta untuk menambah pengetahuan dan kefahaman yang mendalam mengenai amalan protokol serta kemahiran dalam sesebuah majlis, selain mampu menerapkan komponen imej korporat yang terdiri daripada penampilan, sahsiah dan komunikasi.

“Kita juga menerapkan elemen-elemen yang terkandung dalam lima modul utama secara praktikal kepada para pelajar agar mereka boleh mengaplikasikannya dalam penganjuran setiap aktiviti mahupun program kelak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali berkata, dengan adanya program seumpama itu, pelajar diharap mampu menguruskan program yang melibatkan protokol dalam majlis-majlis yang dianjurkan pada masa akan datang dengan lebih teratur dan berkesan.

“Ini selaras dengan hasrat kita melahirkan graduan yang berketerampilan dan holistik melalui penerapan elemen-elemen berbentuk kemahiran dan insaniah,” ujarnya.

Sumber: Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar