PLUMS anjur Siri Taklimat Terbuka Bermula Esok

Cetak
JUMAAT, 15 APRIL - Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS), akan mengadakan beberapa siri taklimat terbuka bermula esok bertempat di Dewan Kuliah Pusat 10 dan 11, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

Pengarahnya,  Prof. Dr. Hajah Arsiah Hj. Bahron berkata, taklimat tersebut antara lain bertujuan memberi penerangan mengenai program-program yang ditawarkan PLUMS iaitu Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana (Kerja Kursus) selaras dengan sesi kemasukan September 2016/2017 yang kini sedang dibuka.

“Selain taklimat di Kota Kinabalu, siri taklimat juga akan diteruskan ke Pusat Pembelajaran PLUMS Tawau pada 30 April, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (7 Mei) serta UMS Kampus Sandakan (14 Mei),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, PLUMS amat berbesar hati menjemput semua yang berminat ke taklimat khas ini untuk mendapatkan penerangan lebih lanjut berkaitan program yang ingin dipohon.

Menurut Dr. Arsiah, antara maklumat yang akan disampaikan adalah sinopsis program, syarat kemasukan, cara-cara pendaftaran serta maklumat bantuan kewangan.

“Selain menyasarkan golongan bekerja, program PLUMS juga terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan lepasan Diploma yang ingin menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda secara luar kampus pada setiap hujung minggu.

“PLUMS sebagai sebuah pusat yang menawarkan program pendidikan sepanjang hayat juga membuka peluang kepada lepasan universiti untuk mengikuti program Ijazah Sarjana (Kerja Kursus) dimana kuliah akan dijalankan pada sebelah malam dan hujung minggu,” tambah beliau lagi.

Sehubungan itu katanya,  pemohon yang berminat boleh memuat turun borang dengan melayari laman web http://plums.ums.edu.my untuk ijazah sarjana muda atau https://smpp.ums.edu.my/application untuk ijazah sarjana.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Seksyen Pemasaran dan Promosi UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. di talian 088-448341 atau e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Tarikh tutup permohonan ialah 12 Jun 2016 (Ijazah Sarjana) dan 1 Julai 2016 (Ijazah Sarjana Muda).