UMS Sertai Pertandingan 3MT Peringkat Kebangsaan

Cetak
SELASA, 17 MEI -  Seramai tiga pelajar pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menyertai Pertandingan 3 Minute Thesis (3MT) 2016 peringkat kebangsaan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Pengajian Pascasiswazah, UMS diwakili Pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Ruslan Mapeala bagi kategori Sains Sosial;  Lorita Angeline dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ) bagi kategori Kejuruteraan, dan Lai Yun Mei (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan) bagi kategori Sains dan Teknologi.

Kenyataan itu memaklumkan, peserta UMS dalam pertandingan 3MT itu berjaya menunjukkan kualiti dan saingan sengit setanding universiti-universiti tempatan lain.

Penyertaan dalam 3MT juga sekali gus memberikan pengalaman dan peluang untuk mereka berkongsi hasil kajian masing-masing  dengan masyarakat.     

Pertandingan 3MT adalah acara tahunan melibatkan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) universiti awam yang memerlukan mereka menyampaikan hasil kajian PhD masing-masing tidak melebihi 180 saat menggunakan bahasa mudah difahami kepada para pendengar yang tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang kajian yang mereka lakukan.

Ia dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Dekan-Dekan Pascasiswazah dengan UUM menjadi tuan rumah.

Dengan jumlah penyertaan sebanyak 54 peserta, pertandingan itu bertujuan untuk mencari seorang peserta terbaik bagi mewakili Malaysia ke pertandingan 3MT peringkat antarabangsa di University of Queensland pada Oktober 2016.

Ketiga-tiga peserta  UMS terpilih setelah berjaya menewaskan lapan peserta lain pada Pertandingan 3MT peringkat UMS yang diadakan pada 23 Mac 2016 lalu.

Pertandingan 3MT yang pada asalnya bermula di University of Queensland, Australia pada 2008 kini diadakan di lebih 200 universiti seluruh dunia. -SS

Sumber : Pusat Pengajian Pascasiswazah