Perjanjian UMS-EcoHealth Taja Tiga Pelajar Pascasiswazah

Cetak

ISNIN, 18 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Unit Pembangunan Penyelidikan dan Kesihatan (DHRU) mengadakan pertukaran dokumen perjanjian bersama EcoHealth Alliance bagi penajaan pelajar pascasiswazah UMS di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif hari ini.

Sesi pertukaran dokumen pernjanjian ‘Subcontract Award Agreement’ itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof bersama Presiden EcoHealth Alliance, Dr Peter Daszak.

Menurut Prof. Dr Shahril, perjanjian penajaan itu bagi membiayai tiga pelajar pascasiswazah dalam bidang Perubatan dan Sains Kesihatan serta Kemanusiaan, Kesenian dan Warisan.

“Jumlah penajaan bernilai RM291, 852 yang akan menampung perbelanjaan tiga pelajar sepanjang tempoh pengajian. Fasa semasa Perjanjian Anugerah Subkontrak ini meliputi tempoh dari 1 Januari 2016 hingga 14 Oktober 2016. Adalah dijangkakan bahawa perjanjian itu akan diteruskan, meliputi tempoh kajian keseluruhan pelajar pascasiswazah, iaitu Amy Lim, Alice Mathews dan Jimmy Lee,” katanya dalam majlis tersebut.

Tambah beliau, penajaan pelajar dengan EcoHealth Alliance adalah salah satu aktiviti kerjasama antara UMS dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu yang berpusat di New York, Amerika Syarikat sambil memaklumkan aktiviti-aktiviti lain yang dirancang antara kedua-dua organisasi termasuk penyelidikan dan penerbitan, serta seminar pendidikan dan bengkel.

Sementara itu, Ketua DHRU, Dr. Sarma Aralas berkata, projek yang kini dijalankan antara DHRU dan EcoHealth Alliance ialah Infectious Disease Emergence and the Economics of Altered Landscapes (IDEEAL)’ yang bertujuan mengkaji kesan ekonomi terhadap perubahan penggunaan tanah di Sabah.

“Harapan projek ini menilai amalan terbaik perubahan penggunaan tanah yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua kesihatan dan alam sekitar,” katanya.

Untuk rekod, DHRU adalah satu unit penyelidikan pelbagai disiplin di UMS bagi memupuk penyelidikan secara bersama dalam kalangan penyelidik bidang perubatan, ekonomi dan sains sosial. -SS