584 BAKAL HAJI IKUT KURSUS PERDANA HAJI DI UMS

Cetak

RABU, 20 JULAI – 584 bakal haji mengikuti Kursus Perdana Haji 1437H/2016M Peringkat Negeri Sabah Zon Pantai Barat  anjuran bersama Lembaga Tabung Haji (TH) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Kursus tersebut dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Haji Syed Abas Syed Ali.

Dalam ucapannya beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada TH atas komitmen memastikan semua program dan akltiviti para bakal haji dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau berpesan  agar bakal-bakal haji sentiasa menjaga kesihatan dan membawa bekalan ubat yang cukup kerana ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal terutama semasa di Arafah, Muzdalifah dan melaksanakan ibadat melontar di Jamrah.

Menurut salah seorang jemaah haji, Sahara Jais, 43, kursus Perdana Haji sangat penting untuk memberi pendedahan dan gambaran suasana di tanah suci nanti agar jemaah haji akan lebih bersedia.

“Ini merupakan kali pertama saya menunaikan ibadah haji ke tanah suci, saya amat gembira dan berterima kasih kerana terpilih mengikuti kursus haji ini,” katanya yang berasal dari Kg. Gudon.

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Besar Kanan, Sumber Manusia TH, Tuan Haji Hisham Harun dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin.