Penyelidik UMS Berjaya Nyahkod Sekuens DNA Lengkap Genom Nanas

Cetak

RABU, 27 JULAI – Para penyelidik Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menyahkodkan genetik kedua-dua Nanas MD-2 dan jenis dari Babagon tempatan, yang terkenal seluruh dunia.

Penyelidik utama projek ini,  Profesor Madya Dr. Vijay Kumar berkata, genom ini sukar untuk diuraikan disebabkan tahap pertindihan dan kerumitannya yang tinggi.

Timbalan Pengarah IPB, Dr. Zarina Amin pula memaklumkan, kajian tersebut mengambil masa selama tiga tahun meliputi hampir 526 necleotid yang membentuk DNA nanas.

“Dengan siapnya pengkajian genom ini, ia akan dapat meningkatkan lagi ciri agronomi tanaman ini sekali gus meletakkan UMS di barisan hadapan dalam genetik dan penanaman nanas,” katanya.

Menurut Dr Zarina, dengan menggunakan genom nanas yang lengkap sebagai rujukan, penyelidik UMS mendapati tertib signifikan pada protien nanas yang terlibat dalam biosintesis etilen semasa proses ranum buah nanas. 

Ujarnya, penemuan ini adalah penting memandangkan sebelum ini dianggap bahawa hormon tidak memainkan peranan penting dalam proses tersebut.

“UMS telah bekerja rapat dengan syarikat bioinformatik yang berpangkalan di Malaysia, yang menyediakan latihan dan sokongan bioinformatik untuk projek ini. 

“Mereka juga membangunkan pakej novoLRTM untuk membantu dalam pemasangan genom menggunakan teknologi hibrid,” tambah Dr Zarina.

Untuk rekod, jenis nanas MD-2  merupakan baka pilihan secara komersial yang terkemuka di peringkat global kerana kelebihannya dalam warna, kemanisan , rasa dan keseragaman dalam saiz. – FL (SS)

Sumber: BRI