BPK Anjur Jerayawara Penulisan Rencana dan Pembikinan Video Penyelidikan

Cetak

RABU, 03 OGOS - Bahagian Perhubungan Korporat (BPK) Universiti Malaysia Sabah telah mengadakan jerayawara berkaitan Taklimat Penulisan Rencana Penyelidikan Akhbar dan Pembikinan Video Penyelidikan khusus kepada kakitangan akademik dan kakitangan pengurusan fakulti.

Berlangsung di Mini Auditorium Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Penerbitan, Che Hasruddin Che Hasan antara lain menyentuh tentang format penulisan rencana yang sesuai untuk siaran di akhbar sebagai satu medium mengetengahkan penyelidikan serta kepakaran yang ada di UMS.

"Banyak penyelidikan yang dilaksanakan oleh pensyarah UMS hanya bersandarkan kepada kegunaan akademik dan ilmiah semata-mata dan tidak mendapat pendedahan kepada masyarakat umum.

“Justeru, melalui penulisan rencana berkaitan penyelidikan, kepakaran mahu pun ulasan isu-isu semasa oleh para kakitangan akademik, masyarakat sekurang-kurangnya mendapat pendedahan dan kesedaran,  sekali gus memperlihatkan manfaat universiti kepada masyarakat," katanya.

Menyentuh tentang video penyelidikan,  beliau berkata setiap fakulti boleh membuat video penyelidikan berkaitan bidang tujahan masing-masing sebagai satu kaedah memperkenalkan kelebihan fakulti serta bertujuan sebagai kegunaan pengajaran dan pembelajaran.

Taklimat sama turut diadakan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan pada sebelah petang.