KESUMBA Lawat RTM, Erat Silatulrahim

Cetak

RABU, 5 OKTOBER – Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) telah mengadakan kunjungan hormat ke PUSPANITA Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sabah hari ini.

Lawatan Muhibbah tersebut antara lain bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua-dua organisasi ini melalui kelab wanita, dan memupuk hubungan baik dalam kalangan ahli-ahli kelab termasuk perbincangan tentang kerjasama dua hala.

PUSPANITA RTM Sabah diketuai oleh Setiausahanya, Raja Jamaliah Raja Mokhtar bersama beberapa orang ahli PUSPANITA menyambut delegasi KESUMBA seramai sembilan orang di perkarangan bangunan RTM.

Pengerusi KESUMBA Kampus Antarabangsa Labuan (KAL), Hayati Salleh Baihaki telah memberi taklimat tentang latar belakang KESUMBA termasuk aktiviti yang telah dijalankan pada tahun lepas.

Ahli-ahli kelab itu kemudian dibawa ke Bilik Berita, studio rakaman TV dan Studio Penyiaran SabahVfm dan Sabahfm.

Turut bersama dalam rombongan tersebut adalah Timbalan Yang Dipertua KESUMBA, Roha Asmara dan Ketua-ketua Biro KESUMBA yang lain. – FL