Seminar DDMM Kupas Isu Keharmonian Antara Budaya Dan Agama

Cetak

KHAMIS, 6 OKTOBER – Penganjuran Seminar Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk (DDMM) Fasa 3  di Dewan Kuliah Pusat 2, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini  mendapat sambutan hangat dengan penyertaan hampir 80 orang peserta dari dalam dan luar UMS.

Seminar DDMM anjuran bersama Pusat Islam UMS, Hidayah Centre Sabah dan Pertubuhan IKRAM Malaysia Cawangan Sabah telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Islam UMS, Dr. Mohd. Suhaimi Taat.

Dalam ucapannya beliau berkata, penganjuran ini sangat bertepatan kerana masyarakat kini perlu memahami kewajiban berdakwah dan menyampaikan Islam kepada masyarakat berbilang kaum secara mudah tanpa menyakiti kaum lain sambil menjaga keharmonian antara budaya dan agama masyarakat.

“Harapan saya pada masa akan datang agar lebih ramai peserta daripada kalangan saudara baharu dan kakitangan UMS agar lebih memahami tanggungjawab dakwah dalam masyarakat majmuk melalui interaksi bersama penceramah secara langsung,” katanya.

Pengisian seminar selama dua hari itu dikendalikan oleh enam Penceramah jemputan iaitu Ustaz Haji M. Rapi Manji dari SMKA Limauan, Haji Marsus Jabar dari UiTM Sabah, Surahman Salam dari SMK Benoni, Papar serta penceramah dari Hidayah Centre Foundation, Tuan Haji Burhanuddin A. Ghani,  Wan Muhammad Wan Ibrahim dan Joannes Lukas. -SM