Kerjasama UMS dan Heilongjiang Academy of Science, China Hasilkan Dua Produk Makanan Halal

RABU, 26 OKTOBER -  Kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan sebuah Pusat Penyelidikan di China iaitu Heilongjiang Academy of Science (HAS) kini membuahkan hasil dengan penghasilan dua produk yang dinamakan Bawang Hitam (Black Garlic) dan Kulat Hitam (Black Fungus).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, kerjasama penyelidikan itu turut memberi coretan sejarah buat universiti apabila menjadikan UMS sebagai universiti pertama mendapat pengiktirafan Sijil Halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui anak syarikatnya UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. (UiNVEST) bagi kedua-dua produk berkenaan.

“Kita bersyukur dengan hasil penyelidikan bersama antara Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS dengan Heilongjiang Academy of Science yang dilihat mampu memberi manfaat besar dalam memenuhi pasaran dan kehendak masyarakat dalam industri makanan halal.

“Saya percaya ini merupakan pemangkin kepada penghasilan pelbagai produk lain melalui kerjasama pintar ini,” katanya ketika dihubungi media.

Menurut Datuk Harun, kedua-dua produk berkenaan mengandungi khasiat yang tinggi dan sangat baik untuk kesihatan.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan, Black Garlic mampu membantu melancarkan peredaran darah, tinggi kandungan antioksida, menurunkan kadar kolestrol antimikrob, antifungus dan pelbagai manfaat lain.

“Manakala, Black Fungus pula digunakan sebagai salah satu bahan di dalam masakan yang boleh melancarkan peredaran darah, menurunkan kolestrol, mengandungi antioksida serta mendorong emosi supaya lebih positif dan stabil,” katanya sambil memaklumkan pemprosesan produk tersebut dilaksanakan di China dan akan dikomersialkan oleh UiNVEST di pasaran Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Majlis pelancaran bagi kedua-dua produk itu akan disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman pada Karnival Tani Fakulti Pertanian Lestari UMS  pada 29 Oktober 2016.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.