FAMA Sasar 40,000 Ahli MyAgrosis Dalam Kalangan Siswazah Seluruh Negara

Cetak

ISNIN, 31 OKTOBER – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan keahlian Kelab Usahawan Graduan Pertanian (MyAgrosis) di seluruh negara mencecah 40 ribu pada hujung tahun 2016 ini sebagai menggalakkan siswa-siswi menceburi bidang pertanian.

Pengerusi FAMA, Tan Sri Paduka Haji Badruddin Amiruldin berkata, usaha ini penting memandangkan pertanian adalah satu bidang yang mampu meningkatkan daya saing negara apabila peluang semakin terbuka luas.

“Kesedaran terhadap kepentingan pertanian sebagai enjin ketiga kepada ekonomi negara memerlukan pembabitan golongan belia demi kesinambungan sektor ini.

“Kelab MyAgrosis ditubuhkan untuk membangunkan generasi muda hari ini bagi melahirkan generasi muda akan datang yang berdaya saing dan maju dalam sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan MyAgrosis K-Shoppe Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Sandakan sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan FPL UMS Sandakan ke-10 di perkarangan kampus FPL baru-baru ini.

Beliau menambah, bagi memastikan usahawan yang berjaya dapat dilahirkan pada masa akan datang, FAMA telah diberikan peruntukan khas bagi membolehkan ahli-ahli MyAgrosis mendapat peluang perniagaan berasaskan pertanian.

“Peluang perniagaan tanpa penjamin dan faedah ini bagi memastikan generasi usahawan kita dapat pergi jauh sekali gus berupaya meningkatkan produktiviti apabila menceburi bidang pertanian sebaik keluar dari universiti,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah; dan dekan FPL Prof. Dr. Wan Mohamad Wan Othman.