UMS Komited Tingkatkan Prestasi dalam MyRA

Cetak

RABU, 14 DISEMBER - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menyarankan agar semua dekan dan pengarah fakulti, pusat, institut dalam UMS memberikan komitmen sepenuhnya untuk meningkatkan prestasi universiti dalam Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA).

Saranan tersebut disampaikan oleh beliau ketika merasmikan bengkel hala tuju Pusat, Unit Kajian dan Penyelidikan UMS di Galeri Majlis Bangunan Canselori, kelmarin.

Katanya, meskipun berdepan keadaan ekonomi yang mencabar, warga UMS perlu mengamalkan budaya berjimat cermat dengan cara meningkatkan kecekapan sumber universiti sedia ada.

“Untuk merealisasikan matlamat tersebut, UMS dan warganya perlu lebih inovatif, proaktif serta kreatif dalam menjalankan tugas mereka bagi mencapai impak yang tinggi dan bukannya sekadar meneruskan rutin tugas harian,” ujar Datuk Harun.

Pada bengkel tersebut, seramai 50 peserta mengambil bahagian terdiri daripada dekan-dekan fakulti, pengarah institut, pengarah pusat serta ketua unit kajian dan penyelidikan.

Bengkel tersebut dianjurkan antara lain bertujuan membincangkan serta menyusun semula strategi dan hala tuju pusat kecemerlangan yang terdapat di UMS.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Shahril Yusof; Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Madya Dr. Lee Ping Chin serta Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Akademik, Profesor Dr. Marcus Jopony.