UMS anjur Bengkel Antarabangsa Pemantauan dan Analisis Data Sumber Hutan dan Persekitaran

Cetak

RABU, 8 MAC – Hampir 200 peserta menyertai Bengkel Antarabangsa Pemantauan dan Analisis Data Sumber Hutan dan Persekitaran anjuran Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS)  pada Isnin.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Mohd. Harun Abdullah berkata, program itu diadakan bagi menggalakkan pembangunan bidang penyelidikan jangka panjang bagi memantau persekitaran hutan yang stabil dan mampan.

”Dalam hal ini, UMS berasa bangga mewakili Malaysia sebagai salah satu daripada lima institusi teras dalam usaha kerjasama antara negara-negara Asia di bawah ‘Core to Core Program’,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta.

Menurut Datuk Harun, ia juga akan mewujudkan satu rangkaian kerjasama penyelidikan pelbagai hala antara institusi-institusi teras di lima buah negara termasuklah Jepun, Korea, Taiwan, Thailand  dan Malaysia.

Bertempat di Auditorium Pascasiswazah UMS, bengkel itu dianjurkan dengan kerjasama Japan Society for the Promotion of Science (JSPS) dan turut dihadiri oleh Pengarah Universiti Perhutanan Tokyo Hokaido (UTHF), Prof. Dr. Naoto Kamata dan Pengerusi Penganjur program, Prof. Dr. Phua Mui How.

Bengkel sehari itu menjadi medan perkongsian pengetahuan dan perbincangan antara penceramah dan para peserta dalam meneroka cara baharu dalam pemantauan dan inventori hutan jangka panjang di Sabah.