Kolej Kediaman E UMS Jayakan Sukan Inter Blok 2.0

Cetak

KHAMIS, 20 APRIL – Exco Sukan dan Rekreasi, Majlis Ketua-ketua Blok (MKKB) Kolej Kediaman E Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan Program Sukan Inter Blok siri 2.0 baru-baru ini.

Bertemakan “Sukan Melahirkan Mahasiswa Produktif”, aktiviti-aktiviti yang dipertandingkan mampu membantu siswa-siswi untuk lebih produktif secara fizikal dan mental, sekali gus meningkatkan prestasi dan mutu pembelajaran.

Persiapan penganjuran program yang melibatkan felo penyelaras dan ahli jawatankuasa seramai 45 orang dari Kolej Kediaman E ini juga turut memberi pendedahan yang bermanfaat kepada mereka tentang pengurusan program sukan dan semangat kerja berpasukan.

Program yang berlangsung selama dua hari tersebut menyaksikan beberapa acara dipertandingkan antaranya adalah futsal, bola tampar, bola jaring dan olahraga, dengan pemenang bagi setiap acara menerima hadiah wang tunai, pingat dan hamper.

Penutupan program tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Ketua Kediaman UMS, Dr Muhd Nazri Nazaruddin dalam satu majlis yang turut dihadiri Pengetua Kolej Kediaman E, Dr. Syahruddin Hj. Awang Ahmad dan felo-felo Kolej Kediaman E.

Sumber: Majlis Ketua-Ketua Blok Kolej Kediaman E