Sumbangan Dua Enjin Bot Mudahkan Kerja Penyelidikan: Ketua Unit Rumpai Laut UMS

Cetak

SELASA, 23 MEI - Unit Penyelidikan Rumpai Laut, Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah  (UMS) kini mampu menarik nafas lega setelah menerima dua enjin bot bagi memudahkan kerja-kerja penyelidikan.

Ketua unit itu, Prof. Madya Dr. Suhaimi Md. Yasir berkata, enjin bot berkenaan adalah penting bagi kerja penyelidikan yang dijalankan di laut berhampiran Pulau Selakan, kira-kira 30 minit perjalanan menggunakan bot dari Pekan Semporna.

“Penyelidikan rumpai laut ini sememangnya memerlukan logistik berkaitan air, malah kita juga merancang agar kemudahan pengangkutan laut ini nanti boleh membawa pelancong atau pengunjung melawat tempat penyelidikan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan dua enjin bot daripada dana penyelidikan YTL-Yayasan UMS.  

Majlis penyerahannya disempurnakan Pengerusi Yayasan UMS, Prof. Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzaman Ampon kepada Dekan FSSA, Prof Dr. Baba Musta di Pejabat Urusan Unit Penyelidikan Rumpai Laut UMS, Jeti Pelancongan Semporna pada Ahad.

Dalam pada itu, Dr. Baba turut menyuarakan harapan agar dengan adanya dua enjin bot berkenaan akan membantu penyelidikan dan penanaman rumpai laut di daerah Semporna yang boleh menjana dan meningkatkan pendapatan masyarakat yang mengusahakannya.

“Usaha sama antara YTL-Yayasan UMS  dengan Unit Penyelidikan Rumpai Laut ini berupaya menjadi langkah permulaan menambah baik kerja penyelidikan yang dijalankan,” katanya.

Hadir sama Pengarah Yayasan UMS, Hela Ladin Mohd Dahlan.